Siasatan Kenal Pasti ‘Kacang Hantu’ Dalam Imigresen, JPN – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Siasatan yang sedang dilakukan pihak berkuasa terhadap Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah perlu bagi mengenal pasti ‘kacang hantu’ dalam dua agensi itu yang berkait rasuah dan salah guna kuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata adalah tidak adil untuk membuat tuduhan secara rambang atau mengaitkan seluruh jabatan melakukan amalan rasuah, walaupun pihaknya mengakui kewujudan ‘kacang hantu’ itu yang perlu dibanteras.

“Kita tidak wajar melakukan tuduhan secara rambang. Dalam perkara ini, yang penting adalah keberkesanan terhadap langkah dilakukan kepada dua jabatan itu, mungkin ada kacang-kacang hantu.

“Kacang hantu ini memang wujud dan sentiasa wujud malah disebabkan kacang hantu ini, atau kerana nila setitik, ia merosakkan susu sebelanga.

“Justeru ia harus dibanteras dan saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang melakukannnya, tetapi saya fikir tidak adil untuk menuduh seluruh jabatan,” katanya pada Selasa lapor BH.

Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), di Putrajaya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa JIM dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Pada masa sama, Zahid berkata, sebagai pemimpin yang pernah mentadbir Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini, pihaknya mengakui dua jabatan itu antara yang banyak menerima tuduhan secara rambang.

Sehubungan itu katanya, siasatan itu mampu merungkaikan fakta sebenar sama ada tuduhan berkenaan adalah benar atau tidak.

“Adalah cukup adil siasatan dapat dilakukan kerana jika ia benar, mesti diperbaiki dan jika tidak benar ia mesti dilakukan pencerahan,” katanya.

Zahid yang juga Presiden Umno pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2018.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat