KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan terarah politik dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sebaliknya ia hanya siri percambahan idea ekonomi dalam usaha menyediakan Rancangan Naratif Ekonomi Madani yang akan diterbitkan Ogos ini.
Khairy malah menjelaskan meskipun beliau bukan ahli parti daripada Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) namun kehadirannya dalam mesyuarat yang dijemput Perdana Menteri itu disifatkan sebagai khidmat kepada negara bersandarkan kapasiti beliau sebagai bekas Menteri Kabinet dan juga pemikir ekonomi.
“Tak ada perbincangan politik, lebih kepada diskusi percambahan idea ekonomi.
“Jadi bagi saya tidak ada masalah walaupun saya bukanlah ahli PH -BN yang menjadi tunjang kepada kerajaan sedia ada. Saya anggap sebagai khidmat kepada negara, Perdana Menteri panggil kita atas kapasiti kita sebagai bekas menteri, pemikir ekonomi.
“Saya pergi bagi pandangan saya, tidak ada udang di sebalik batu tetapi jadi isu sebab PRN menghampiri, saya pun masih berstatus pemain bebas, tak ada pasukan lagi maka timbullah spekulasi,” ujar Khairy dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Rabu.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menzahirkan kekaguman beliau kepada Perdana Menteri kerana kesediannya mendengar pandangan-pandangan daripada pelbagai pihak.
“Saya difahamkan bahawa itu bukan perjumpaan pertama ataupun satu-satunya perjumpaan yang diadakan untuk membincangkan ekonomi negara menurut pegawai Perdana Menteri, siri perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pihak industri, peniaga dan juga pakar lain cuma apabila saya hadir ada bukti dari sudut gambar, saya tak pasti perjumpaan yang saya hadir ada gambar yang lain tak ada gambar.
“Perdana Menteri sedang mendapatkan pandangan dan input kerana beliau juga sedar bahwaa naratif ekonomi negara kurang jelas, tidak ada strategi ekonomi negara yang pelabur dan rakyat sendiri kurang memahami bahawa ini adalah naratif ekonomi Madani, jadi sebab itulah Ogos nanti akan diumumkan Naratif Ekonomi Madani iaitu hala tuju ekonomi kita.
“Jadi dalam menyediakan dokumen tersebut, Perdana Menteri sedang bertemu dengan seramai mungkin dan kumpulan untuk mendapat input dan idea,” jelas Khairy.
Tegas beliau lagi, mesyuarat itu tiada unsur politik bahkan tiada perbincangan politik langsung, ia cuma tertumpu kepada ekonomi sahaja dan fokus kepada idea dan cadangan konkrit.
“Perdana Menteri kata beliau nak dengar solusi, nak dengar cadangan.
“Jadi saya berpandangan perbincangan itu walaupun peringkat tinggi tetapi telah menghasilkan beberapa idea konkrit yang mungkin akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Naratif Ekonomi Madani,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Mengulas lanjut, gosip yang dimainkan pengguna media sosial yang menimbulkan tanda tanya berhubung ketidakhadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama ahli ekonomi dan pakar industri bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara sebaliknya Khairy pula dijemput.
“Saya nak jelaskan walaupun Rafizi tidak hadir tapi Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi hadir mesyuarat itu. Bagi saya menteri ada banyak kerja lain tak semestinya dia hadir dalam semua perbincangan.
“Kita kena ingat Anwar bukan hanya Perdana Menteri, beliau juga Menteri Kewangan. Saya biasa melihat bila menteri kewangan ada perbincangan kalau tak sempat Menteri Ekonomi tak hadir pun tak apa sebab akhirnya mereka akan bertukar pandangan di peringkat mesyuarat Jemaah Menteri atau Majlis Tindakan Ekonomi.
“… dan saya melihat komen itu agak nakal, tak perlu diperbesarkan, cuba adu domba antara Perdana Meneteri dan Rafizi, cuba adu domba saya dan Rafizi orang tahu kita kawan dan sahaabat. Saya tak anggap itu komentar yang membina sebab sudah pasti Rafizi sebagai Menteri Ekonomi akan ada input juga.
“Ini tak bermaksud Perdana Menteri jumpa pemegang taruh, tak jemput Menteri Ekonomi bermakna mereka ada masalah,ini adalah usaha mendampingi pelbagai pihak,” kata beliau.