KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mengambil keterangan pengarah dan seorang pelakon filem Mentega Terbang, hari ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, kedua-dua individu itu dirakam percakapan pada 10.30 pagi tadi di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Rakaman percakapan ke atas penerbit filem pula akan dirakamkan pada 14 Mac ini (Selasa).
“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Terdahulu, media melaporkan pengarah dan salah seorang pelakon filem itu, Khairi Anwar Jailani dan Arjun Thanaraju dipanggil ke Bukit Aman hari ini.
“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis,” kata Khairi selepas kenyataan itu direkodkan.
Filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi kerana didakwa memaparkan jalan cerita yang bertentangan dengan Islam dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam.
Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng itu mula ditayangkan pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui. – HMetro