KUALA LUMPUR : Belanjawan 2023 yang menyaksikan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM102 juta disalurkan kerajaan bagi mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan, disambut gembira penggiat industri kreatif.
Bagaimanapun, sebagai agensi menyalurkan DKD kepada penerima layak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mahu lebih cakna dalam proses agihan kali ini, rentetan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 yang mendapati DKD bernilai RM4 juta disalurkan kepada syarikat yang ada kepentingan dengan ahli perbadanan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata sebagai badan induk, pihaknya akan lebih cakna dalam menangani isu ketirisan dana susulan peruntukan DKD bernilai RM102 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023.
“Mengenai isu ketirisan DKD yang disebut dalam LKAN 2021, saya tidak boleh beri komen kerana buat masa ini, FINAS masih meneliti kronologi perkara itu.
“Pada masa sama, kami mahu lihat dokumen berkaitan, termasuk mendengar rakaman audio yang dibuat ketika mesyuarat berlangsung.

“Jadi, ini mengambil masa sebelum kami dapat mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, BH Online melaporkan LKAN 2021 Siri 2 mendapati penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan.
Laporan itu menyebut, semakan audit mendapati DKD RM4 juta disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak ahli lembaga pengarah FINAS.
Md Nasir berkata, FINAS memberi penekanan kepada dua aspek dalam isu agihan DKD selepas Belanjawan 2023 iaitu membetulkan dan mencegah.
“Kami akan perbetul kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini berpandukan kepada akta, garis panduan dan peraturan sedia ada. Kami juga perketatkan (prosedur) agar sebarang ketirisan (dalam agihan dana) dapat dielak.
“Kedua, kami akan ambil langkah pencegahan iaitu dengan menghalang perkara itu (ketirisan) berlaku dan akan memastikan semuanya (proses agihan dana) dipantau dengan baik dari awal hingga akhir,” katanya.
Md Nasir berkata, sebagai langkah yang lebih efisien untuk menangani masalah ketirisan DKD, FINAS bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan untuk menggubal garis panduan baharu.
“Sekarang sudah ada garis panduan baharu yang membabitkan (input) daripada peguam FINAS, pemain industri dan wakil Kementerian Komunikasi dan Digital termasuk ahli FINAS dalam membentuk garis panduan lebih jelas dan terperinci.
“Ini dapat melindungi kerajaan dan penerima dana. Tatacara yang lebih jelas itu diharap dapat menghalang daripada berlakunya ketirisan dana selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Md Nasir berkata, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membantu proses semak dan imbang, terutama daripada sudut agihan dana.
“Kami ada jawatankuasa yang dianggotai individu berbeza agar dapat membuat semak imbang sewajarnya. Dengan cara ini, tidak ada pihak yang boleh mendominasi mana-mana keputusan untuk pemberian DKD,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Jumaat lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM127 juta bagi menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya.
Daripada jumlah itu, kerajaan memperuntukkan DKD bernilai RM102 juta bagi mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.
Kerajaan menyediakan dana RM25 juta bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.
Berita Harian