KUALA LUMPUR: Lazimnya apabila selebriti dilantik menjadi duta atau jurucakap produk mahupun program, soal bayaran adalah perkara utama yang dibincangkan.
Bagaimanapun, situasi ini tidak dilihat kepada vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie yang baru-baru ini dilantik sebagai duta kepada Yayasan Erth Al-Mustafa, iaitu sebuah pertubuhan kebajikan yang mengendalikan misi kemanusiaan di luar negara.
Awie berkata, sebelum perjanjian dimeterai, beliau meminta yayasan terbabit membuat kaji selidik mengenai latar belakang dan kisah silamnya agar tiada isu berbangkit.
“Perkara pertama yang saya tanya adalah apakah yakin dengan keputusan mereka dan tidak menyesal kerana saya pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi.
“Saya adalah individu yang sering dilabel mempunyai imej buruk sejak awal kemunculan iaitu samseng, kaki pukul isteri dan segala-galanya.
“Soalan sama juga saya bangkitkan setiap kali saya ditawar terbabit sebagai duta untuk program berbentuk agama.
“Saya lebih suka berterus terang agar mereka tahu keadaan sebenar dan tidak mahu dipersoalkan kelak,” katanya pada sidang media acara Iftar Bersama Wings: Dari Tuhan, Anugerah dan Harapan anjuran Yayasan Erth Al-Mustafa dan BMS Event, di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Erth Al-Mustafa, Sheikh Imran Angullia; wakil BMS Event, Bidari Mohamad Suhaili serta anggota Wings iaitu Eddie, Black dan Syam.
Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman berkata, selain bersikap jujur, beliau berterus-terang kerana mahu yayasan terbabit tahu tidak semua tuduhan yang dilemparkan, berpunca daripada sikapnya.
“Setiap yang terjadi mesti ada sebab dan puncanya hanya ada dalam hati saya. Apa yang dibaca dalam Google tidak menggambarkan kisah sebenar.
“Banyak yang saya simpan dan tidak dihebahkan kepada orang luar. Saya mahu mereka faham apa yang menyebabkan perkara itu berlaku.
“Setiap umat Islam ada laluan pulang untuk kembali ke jalan yang benar. Allah sudah tentukan untuk saya jumpa mereka dan beri kekuatan supaya tidak mudah putus asa.
“Saya hanya mahu seorang manusia yang baik dan menjadi contoh kepada enam orang anak saya,” luah penyanyi yang popular dengan lagu Di Penjara Janji ini.

Dalam perkembangan lain, Awie memberitahu Wings akan kembali mementaskan konsert selepas Aidilfitri kelak.
Apa yang menarik, konsert itu akan menyaksikan mereka kembali ke akar iaitu bertemu peminat di kampung dan kawasan pedalaman.
“Sebelum ini, kami sering mendapat rungutan mengenai harga tiket konsert kami yang dianggap ‘kayangan’.
“Jadi, saya cakap dengan anggota Wings, tahun ini, kita jangan pergi terlalu banyak ‘show’ besar. Kita akan masuk ke kampung termasuk kawasan pedalaman. Kami mahu jumpa rakyat marhaen dan rapatkan kembali jurang yang sebelum ini terpisah.
“Dalam perancangan kita sudah ada 10 hingga 15 lokasi di seluruh negara. Insya-Allah, harga tiket adalah mampu milik. Apa yang penting, kami masih ada sedikit keuntungan. Konsert ini akan bermula selepas Aidilfitri kelak,” katanya.
Sementara itu, berkongsi konsep persembahan acara Iftar Bersama Wings: Dari Tuhan, Anugerah dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 31 Mac depan, Awie berkata, kebanyakan lagu yang didendangkan bertemakan kerohanian.
“Untuk persembahan itu, kami cuba tukar sedikit ke arah lebih Islamik. Lagu berbentuk perjuangan, kasih sayang kepada ibu bapa dan alam.
“Selain lagu sendiri, kami akan menyanyikan lagu dendangan kumpulan nasyid sepertiAl-Jawaher, Datuk Jamal Abdillah, Maher Zain dan Sanisah Huri.
“Kami akan menyanyikan kira-kira 15 lagu. Sambil berhibur dan berdakwah, dapat kita menyumbang kepada insan memerlukan,” katanya.
Maklumat pembelian tiket untuk acara Iftar Bersama Wings: Dari Tuhan, Anugerah dan Harapan boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my
Harian Metro