KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 47, dihadiahkan lagu khas sempena tugasan sebagai penyampai radio Hot FM yang baharu.
Khairy atau lebih mesra disapa KJ bersiaran menerusi segmen Bekpes Hot bersama tiga penyampai, Johan, AG dan Fara Fauzana, setiap Isnin, jam 8 pagi.
Mengakui terkejut dan terharu mendengar lagu ciptaan Roshan Jamrock, Khairy berkata, dia mengetahui ada kejutan, namun menyangka panggilan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Penerbit kata ada kejutan, tetapi saya ingat ada panggilan daripada Datuk Seri Zahid,” katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Roshan ketika dihubungi menerusi segmen Bekpes Hot meluahkan penghargaan diberikan kepadanya menghasilkan lagu istimewa itu.
“Ini adalah peluang bagus sebab saya adalah peminat KJ, jadi saya tak payah tanya banyak soalan dan terus buat.
“Saya jadi peminat KJ sebab sebelum ini berambut ‘dreadlocks’, jadi saya boleh terus kaitkan dengan KJ,” katanya.
Dalam masa sama, Roshan memuji kerjasama empat penyampai radio yang disifatkan berjaya menghiburkan pendengar pada waktu pagi.
“Anda buat kerja yang sangat bagus dan saya suka mendengarnya,” katanya.
Sebelum ini, Khairy pernah berkongsi menerusi temubual bersama penyampai radio Molek FM, DJ Nazz mengenai tiga band tempatan pilihannya, iaitu Alif Satar & The Locos, Butterfingers dan Search.
Mengulas pertanyaan AG, Khairy mengakui, dia adalah peminat Alif Satar & The Locos dan Alif juga adalah kawannya.
“Pertama, saya minat Alif sebab sahabat saya. Kedua, lagu-lagunya memang baik dan ketiga, ini ramai tak tahu.
“Semasa saya menjalankan program vaksinasi COVID-19, Alif mendendangkan lagu untuk program berkenaan,” katanya.

Pasukan Hot FM turut menghubungi Alif untuk mendapatkan reaksi.
Alif yang turut memuat naik penghargaan dalam laman Instagram (IG) berkatam dia berbesar hati apabila kumpulannya menjadi pilihan.
“Terima kasih sebut Alif Satar & The Locos sebab ada lagi dua band yang memang ‘gempak’ gila,” katanya.
Melanjutkan bicara, Alif berkata, dia gembira melihat Khairy dengan karier baharu sebagai penyampai radio.
“Seronok dengar cerita KJ masuk dalam dunia industri seni. Sebab beliau sudah terjun kapal terbang, boleh ‘menggoreng’ gitar dan menteri pertama yang masuk program Ironman walaupun separuh sahaja,” katanya.
Mengulas sama ada berminat untuk ‘jamming’ bersama pasukan Bekpes Hot FM, Alif terbuka untuk bersama empat penyampai radio itu menyampaikan lagu Lindung Diri Lindung Semua.
“Bila-bila masa sahaja. Disebabkan KJ ada menyebut berkenaan lagu vaksin, jadi kita akan ‘jamming’ lagu ini,” katanya.
Terdahulu, suara Khairy buat kali pertama berkumandang di stesen radio Hot FM mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada 15 Februari lalu.
Seperti dijangka, kemunculan Khairy dalam keluarga Hot FM memberi impak luar biasa dalam kalangan pendengar sehingga penstriman beberapa kali mengalami gangguan ketika bersiaran.
Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu.
Tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka dalam Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Berita Harian