KUALA LUMPUR – Majoriti perwakilan Umno bersetuju usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Said berkata, 90 peratus perwakilan berdiri dan angkat tangan sebagai tanda sokongan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan untuk penggal kali ini.
Namun, katanya semua jawatan lain kekal dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
“Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno adalah bersifat ‘heavyweight’ ia jelas berbeza dengan jawatan-jawatan lain. Tambahan pula masih ada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal ditandingi, kalau ada pertandingan dua jawatan utama itu pasti wujudnya perpecahan dan persengketaan sesama sendiri.
“Umno perlu fokus kepada penyatuan bukannya perpecahan, setiap kali ada pemilihan Umno akan berpecah. Sebab kalau ada pertandingan tentunya yang kalah akan merajuk bahkan ada yang tikam Umno dari belakang.
“Kalau tak bergaduh kita boleh fokus kepada PRN, tak ada lah yang nak merajuk. Semua boleh fokus untuk menangkan parti,” katanya pada sidang media di World Trade Centre (WTC) pada Sabtu.
Pengerusi Umno Terengganu juga menegaskan, keputusan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu tidak melanggar Perlembagaan parti malah ia merupakan suara majoriti perwakilan.
Bahkan, katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam mesyuarat MKT baru-baru ini menyatakan beliau sedia dicabar dan tidak mahu menutup ruang demokrasi dalam Umno.
“Saya nafikan dakwaan kononnya Presiden enggan dicabar. Umno 90 peratus mahu jawatan itu tak dipertandingkan, ini suara perwakilan akar umbi.
“Jelas kini penyatuan parti lebih penting daripada jawatan .
“Tadi ketika pengundian cuma 30, 40 orang saja tak sokong,” ujarnya.-Suara.TV