MPAJ Batal Lesen Restoran Tikus ‘Jamah’ Ayam Goreng

- Advertisement -

PETALING JAYA – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) serta-merta terhadap sebuah premis yang tular dengan kejadian seekor tikus sedang menjamah ayam goreng.

Menurut Yang Dipertua MPAJ, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim, ia selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup kelmarin.

Katanya, jika premis itu didapati masih beroperasi seperti biasa, pihaknya akan mengambil tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Fauzi menjelaskan, berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari 2022.

Katanya, MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan sentiasa dipatuhi.

“Sehingga 30 November 2022, sebanyak 1057 buah premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 9(f) Pengendalian Makanan MPAJ 2007 dan UUK 19(1) (d) Establisymen Makanan MPAJ 2007.

“Kita mengambil berat tentang isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan.

“Orang ramai juga boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MPAJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my,” jelasnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan premis yang tular itu ditutup 14 hari, termasuk dikenakan enam notis kompaun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan terhadap video tular itu dan mengenal pasti lokasi premis terbabit terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, KKM dalam akaun rasminya membuat ciapan emoji ‘memualkan’ merujuk rakaman video seekor tikus sedang menikmati ayam goreng, di sebuah restoran, yang sudah mendapat tontonan 1.5 juta. – Utusan

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat