KUALA LUMPUR: Biarpun ramai bakat baharu mewarnai industri seni tanah air, namun, Izzue Islam masih menjadi buruan penerbit program televisyen (TV) dan filem tempatan.
Tidak hairanlah, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berjaya menembusi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bertemakan #KITABERSAMA.
Bukan untuk satu kategori, sebaliknya Izzue dibariskan dalam dua pencalonan iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Elisya Sandha melalui drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe.
Tidak menyandarkan harapan, pelakon dan penyanyi berusia 31 tahun itu menyerahkan nasib kepada peminat.
“Alhamdulillah, tahun ini nama saya dicalonkan sekali lagi. Tiada apa yang saya harapkan, dicalonkan pun sudah memadai.
“Saya tiada apa-apa strategi. Lagipun, ini bukanlah kali pertama dicalonkan dalam acara berprestij seperti ABPBH.

“Soal kalah atau menang, semuanya saya serahkan kepada peminat,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Forteen.
Berkongsi kerjaya lakonan pada era pandemik COVID-19, Izzue yang melangkah ke dunia lakonan dengan melakonkan watak tambahan dalam drama Blogger Boy pada 2009, bersyukur pendapatannya tidak terjejas.
“Saya bersyukur diundang menjayakan beberapa kempen dan mengacarakan program secara maya untuk laman sosial di rumah sahaja.
“Sebaik kerajaan memberi lampu hijau untuk memulakan aktiviti penggambaran, saya kembali sibuk menyambung semula projek tertangguh antaranya Kari Ayam Mama dan Cinta Round 1.
“Selain itu, drama terbaharu saya, Ganjil menemui penonton di platform Viu,” katanya.
Izzue atau nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan menambah, kewujudan banyak platform OTT umpama talian hayat buat pelakon yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional semata-mata.
Sebaliknya, pelakon mempunyai banyak pilihan, selari dengan kecanggihan teknologi. Drama lakonan ditayangkan di platform OTT dan boleh ditonton di mana sahaja asalkan ada pautan internet.
“Ini kali pertama saya menjayakan drama terbitan Viu. Platform seperti Viu memberi peluang kepada peminat drama menonton drama kegemaran mereka melalui telefon pintar.
“Platform seperti itu juga memberi peluang kepada pelakon meneroka sesuatu yang baharu,” katanya.
Izzue berkata, set penggambaran drama Ganjil cukup besar umpama projek bikin filem.
“Jalan cerita drama ini berbeza daripada yang lain. Pembikinan drama ini cukup mencabar berikutan tertangguh beberapa kali.
“Namun, kami tetap bersemangat menyiapkan projek ini. Kami mahu penonton menikmati kelainan yang ada pada drama Ganjil yang bukan setakat sebuah kisah cinta biasa,” katanya.
Berita Harian