KUALA LUMPUR – Pembukaan semula beberapa sektor bukanlah petanda bahawa persekitaran kita sudah selamat daripada jangkitan COVID-19 sebaliknya atas faktor pemulihan ekonomi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Peringatan kepada semua, banyak tempat dan kemudahan yang dibuka adalah sebab ekonomi dan bukan kerana ia selamat.
“Jangan abaikan pematuhan, pakai pelitup muka, kalau boleh dua lapis, amalkan penjarakan fizikal, kerap basuh tangan.
“Elak tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin,” katanya menerusi Twitter, malam tadi sejurus kerajaan mengumumkan bahawa individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan melakukan aktiviti dine-in di restoran mulai Jumaat, 20 Ogos.
Terdahulu, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata aktiviti ‘dine-in’ atau makan di restoran dibenarkan kepada individu terbabit berkuat kuasa Jumaat.
Kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara.
Hari ini dilaporkan sebanyak 37 peratus atau 12,079,978 populasi negara ini telah melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Jawatankuasa itu menerusi perkongsian infografik dalam Twitter rasminya, memaklumkan setakat semalam juga, seramai 17,806,570 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 29,886,548 dos.
Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 517,692 dos diberikan semalam dengan 180,810 adalah dos pertama manakala 336,882 merupakan dos kedua.