KUALA LUMPUR: Pelantikan Perdana Menteri Interim mungkin pilihan terbaik buat masa ini sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan bagi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan dengan majoriti kukuh.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata meskipun pelantikan Perdana Menteri Interim tiada dalam Perlembagaan, namun keperluan itu penting dalam menstabilkan semula politik selain isu kritikal lain khususnya membabitkan aspek kesihatan awam.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti, pelantikan Perdana Menteri dikhuatiri akan hanya menyebabkan episod kemelut politik yang berlaku kini berulang kembali.
“Kalau kita tengok, sama ada di sebelah pembangkang atau kerajaan tak cukup majoriti…jadi pelantikan Perdana Menteri Interim akan dibuat kalau situasi begini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali jika pelantikan Perdana Menteri dibuat ketika ini.
“Ini kerana walaupun PRU sebenarnya adalah jalan terbaik, namun kita memahami keadaan tak mengizinkan dan tidak sesuai diadakan pilihan raya umum sekarang ini, maka dengan adanya Perdana Menteri Interim, pentadbiran kerajaan boleh terus berjalan.
“Namun apapun ia terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk memutuskannya,” katanya kepada BH, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan namun ia ditolak majoriti parti pembangkang.
Susulan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, memaklumkan Perdana Menteri akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
Pada masa sama, Rusdi berkata, Perdana Menteri Interim adalah sangat kritikal kerana perlu mencari penyelesaian isu COVID-19 dan membaik pulih ekonomi dan atas dasar itu pemimpin terbabit perlu mempunyai pengalaman dalam pentadbiran serta jaringan hubungan yang baik dengan negara luar.
Beliau berkata, atas dasar itu beliau menyifatkan empat nama paling sesuai memegang jawatan itu secara sementara ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak atau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri.
“Namun Perdana Menteri Interim tidak boleh terlalu lama tempoh kepimpinannya sebaliknya enam bulan adalah masa sesuai sebelum mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih melalui PRU,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Azmi Hassan, pula berkata penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) susulan kemelut politik ini perlu dielakkan sebab negara belum mencapai tahap kritikal di mana kerajaan tidak boleh dibentuk.
Beliau berkata, dalam masa sekarang ini, sebaik-baiknya seramai 220 ahli Parlimen yang ada, perlu membuat keputusan terbaik memilih seorang pemimpin yang memiliki sokongan rentas parti atau bipartisan.
Katanya, pihaknya pasti dalam keadaan terdesak ini di mana PRU tidak boleh diadakan dan untuk mengelakkan penubuhan MAGERAN, semua ahli Parlimen pastinya akan mencapai kata sepakat untuk memilih seorang calon Perdana Menteri dalam mentadbir negara.
“Sebaik-baik kerajaan adalah yang dibentuk oleh rakyat, namun situasi sekarang menyebabkan PRU tidak dapat diadakan justeru ahli Parlimen harus mengambil tanggungjawab itu untuk membuat keputusan.
“Kalau kita lihat sekarang ini memang tiada entiti yang ada majoriti namun sudah pasti Ahli Parlimen dalam keadaan PRU tidak boleh diadakan dan tidak mahu MAGERAN mengambil alih yang menyebabkan kuasa ahli Parlimen hilang, pastinya akan ada keputusan dalam mewujudkan sokongan rentas parti terhadap pemimpin.
“Pelantikan Perdana Menteri itu seharusnya mendapat sokongan majoriti yang kukuh dan bukan majoriti mudah untuk menentukan sebuah kabinet yang stabil dan jika ada ‘gangguan’ pun dapat ditepis dengan mudah,” katanya.
-BERITA HARIAN