Merealisasi Teras Rahmatan Lil Alamin, Wacana Maqasid Syariah Dalam Konteks Semasa Cabaran Besar 2019 – Mujahid

SHAH ALAM – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggariskan tiga teras utama pentadbiran Islam untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Teras itu – Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia, kata Mujahid, penting untuk mengukur sejauhmana Malaysia berjaya tidak terheret ke perangkap kelompok ekstrem dan radikal. 

Ujarnya, kelompok yang mahukan Islam ditafsirkan mengikut acuan yang longgar dan cair akan ditangani melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin.

“Pun begitu pendekatan Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin ini tidak terlepas dari menjadi mangsa kekeliruan sesetengah pihak yang dengan sengaja mahu menimbulkan suasana syak dan ragu terhadap nilai yang ingin dibawa. 

“Kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperkecilkan teras Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai salah satu teras pentadbiran Islam di Malaysia. 

“Mereka mendakwa dalam tulisan dan ceramah mereka kononnya Rahmatan Lil ‘Alamin adalah satu cara halus untuk meliberalisasikan fahaman masyarakat Islam di Malaysia. Soalnya, adakah benar dakwaan mereka itu? 

“Teras Rahmatan Lil ‘Alamin ini sebenarnya merujuk kepada ayat 107 Surah al-Anbiyaa Allah SWT berfirman maksudnya: ‘Dan tidaklah Kami utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam’

“Maksud alam ialah segala kewujudan selain Allah SWT. Maka kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk menyenangkan dan membahagiakan seluruh alam, bukan khusus untuk umat Islam atau bangsa Melayu sahaja,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Selain itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, cabaran untuknya pada tahun depan adalah untuk memperbaharui naratif Maqasid Syariah agar sesuai di pentas realiti dan keperluan semasa berdasarkan disiplin ‘Fiqh al-Waqi’. 

Kata Mujahid, jika para ilmuan Maqasid masih terikat dan terpasung dengan naratif klasik semata-mata seperti objektif menjaga nyawa dalam Islam ialah membunuh balas (qisas) orang yang disabitkan membunuh, maka sudah pasti Maqasid Syariah akan dilihat kurang relevan dengan tuntutan semasa tentang keperluan menjaga nyawa daripada ancaman-ancaman baru.

“Sebagai contoh, usaha-usaha menurunkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya adalah termasuk dalam objektif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah. 

“Berdasarkan laporan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya yang disiarkan di portal rasmi Kemeterian Pengangkutan Malaysia untuk tempoh 2011-2016, memang terdapat penurunan indeks kematian iaitu dari 3.21 (6,877 kematian berbanding 21,401,269 kenderaan berdaftar) kepada 2.59 (7,152 kematian berbanding 27,613,264 kenderaan berdaftar). 

“Walau bagaimana pun, melihat kepada angka kematian yang masih tinggi akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2016 iaitu 7,152 mangsa, sesuatu yang lebih efektif wajib dilakukan di samping Pendekatan 5E( Education, Enforcement, Engineering, Environment dan Evaluation) yang dijalankan Kementerian Pengangkutan Malaysia menerusi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama badan bukan kerajaan, pihak swasta dan media massa,” ujarnya.

Mujahid menambah, pihak-pihak berkuasa agama dan para agamawan seharusnya peka terhadap ancaman maut akibat kemalangan jalan raya dengan menjadikan objektif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah sebagai wacana yang sangat penting dalam khutbah, ceramah dan tazkirah mereka. 

“Ini bertujuan agar kesedaran rakyat meningkat terhadap kepentingan berhati-hati dan berwaspada dengan mengambil langkah-langkah keselamatan di jalan raya. Kempen kesedaran agama tentang keselamatan di jalan raya hendaklah seiring dengan kempen kesedaran tentang kewajipan solat fardhu, menutup aurat, meninggalkan arak dan sebagainya. 

“Inilah pendekatan kerajaan Malaysia Baharu dalam memperbaharui naratif menjaga nyawa dalam Maqasid Syariah.

“Walaupun dalam masa yang sama diasak kiri dan kanan dengan usaha-usaha pihak tertentu yang mahu membawa pemahaman dan emosi rakyat kearah radikal dan ekstrem,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.