Lelaki Tertembak 2 Rakan Disangka Babi Hutan

PEKAN ― Dua lelaki cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sekampung mereka yang berburu babi hutan di Kampung Permatang Pauh, di sini pada 26 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata dalam kejadian pada 5 petang itu, kedua-dua mangsa yang berumur 45 dan 46 tahun cedera pada bahagian leher dan bahu akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan daripada senapang jenis semi auto Benelli.

Siasatan awal mendapati, suspek yang berumur 43 tahun membawa senapang milik bapanya pergi ke hutan berkenaan bersama dua lagi rakannya untuk menembak babi hutan.

“Bagaimanapun ketika melepaskan tembakan, ia telah tersasar dan mengenai kedua-dua mangsa yang berada tidak jauh daripada suspek,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dua lagi rakan suspek yang berada di kawasan lain, bergegas ke lokasi kejadian apabila terdengar bunyi tembakan sebelum menemui kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah, lapor Bernama

Amran berkata kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pekan sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut, bagaimanapun kini dilaporkan stabil setelah pembedahan mengeluarkan serpihan peluru dilakukan.

“Susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang tinggal di Kampung Permatang Pauh, kira-kira 7 petang pada hari sama. Suspek kini direman hingga 2 Januari 2018, manakala dua lagi rakannya yang berusia 68 dan 53 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Selaras senapang patah bersama empat butir peluru turut dirampas,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.