Pesawat Air Canada Digoncang Badai, Penumpang ‘Terbang’ Ke Siling

LONDON – Penumpang sebuah pesawat Kanada melalui pengalaman mengerikan apabila penerbangan itu dilanda ribut kuat sehingga seorang penumpang kanak-kanak “terbang ke siling”.

 

Penerbangan Shanghai menuju Toronto itu dilaporkan bergegar kuat, selain bergerak dalam keadaan naik dan turun, lapor agensi penyiaran BBC hari ini.

 

“Mula-mula ia OK sahaja, bergerak ke atas dan bawah macam biasa, tetapi tiba-tiba pesawat bergoncang kuat sehingga menggoyangkan semua penumpang,” kata penumpangnya Yi Lee.

 

“Tiba-tiba pesawat itu turun mendadak dan saat-saat itu memang menakutkan.

 

“Seorang budak perempuan yang duduk sebelah saya, dia sedang tidur [waktu itu] dan dia terbang ke atas (ke arah siling),” agensi itu memetik Linda He sebagai berkata.

 

Akibat gangguan badai itu, pesawat Air Canada terpaksa mendarat cemas setelah 21 penumpang, termasuk tiga kanak-kanak, tercedera.

 

Lapan penumpang mengalami kecederaan di bahagian leher dan belakang, sementara 13 lagi dimasukkan ke hospital untuk pengawasan lanjut, lapor BBC lagi.

 

Mereka yang cedera dilaporkan stabil, kata seorang jurucakap khidmat kecemasan.

 

Pesawat terpaksa mendarat di Calgary, kira-kira tiga jam setengah lagi sebelum tiba di Toronto.

 

Boeing 777 yang membawa 332 penumpang dan 19 anak kapal mendarat cemas tanpa sebarang masalah, kata Air Canada dalam satu kenyataan.

 

Ketua pegawai operasinya Klaus Goersch berkata penumpang-penumpang melalui “pengalaman yang sangat mengganggu.”

 

Memuji tindakan anak-anak kapal itu, beliau juga berkata sebilangan penumpang yang dibawa ke hospital dibenarkan keluar tidak lama kemudian. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.