‘Papa Lemas, Air Banjir Masuk Hidung Papa’

JEMPOL – “Papa lemas. Air banjir masuk hidung papa. Tahfiz telefon papa tapi papa tak angkat. Telefon papa rosak.”

 

Luahan itu disebut oleh anak sulung Kapten Hasman Hussin, Muhammad Aqil Tahfiz, 3, ketika Utusan Malaysia bertanyakan tentang arwah bapanya.

 

Kata Muhammad Aqil Tahfiz, “papa kena tanam. Nanti Tahfiz nak telefon papa lagi sampai papa angkat.”

 

Perkataan sedih itu membuatkan suasana di rumah keluarga Hasman dekat Felda Palong 3 bertambah pilu selain dipenuhi kenalan dan ahli keluarga terdekat.

 

Hasman yang sedang mengikuti kursus kejuruteraan di Fort Leonard Wood bermula 1 Oktober lalu, dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS) dalam tragedi banjir yang turut mengorbankan empat lagi rakan tentera antarabangsa.

 

Hasman meninggalkan seorang balu, Siti Hazwani Ahmad, 29, serta tiga anak lelaki iaitu Muhammad Aqil Tahfiz, Muhammad Aqil Solihin dan Muhammad Aqil Solihan masing-masing berumur 3 bulan.

 

Siti Hazwani berkata, Muhammad Aqil Tahfiz masih tidak memahami situasi sebenar yang berlaku kepada bapanya.

 

“Semalam Tahfiz bertanya kepada saya kenapa gambar papanya masuk (disiarkan) televisyen selain turut menanyakan bila papa akan balik.

 

“Saya cuba terangkan kepada Tahfiz apa yang berlaku namun dia seperti tidak memahami situasi ini,” katanya.

 

Sementara itu kakak Hasman, Noriza Hussin, 36, memberitahu, adik ketiganya itu seolah-olah memberi ‘petanda’ apabila Hasman menukar status aplikasi WhatsApp ketika berada di AS.

 

“Kami ada WhatsApps keluarga dan dia (Hasman) ada juga bertanyakan khabar kami sekeluarga. Namun saya pelik apabila dia menukar statusnya kepada ‘sleeping’ sedangkan di AS pada ketika itu siang.

 

“Tidak sangka Hasman akan ‘tidur’ selamanya,” katanya sebak.

 

Jenazah Hasman dijangka dibawa pulang pada Jumaat ini dari AS dan akan disemadikan di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.