Kronologi Kemangkatan Kerabat Diraja, Kematian Orang Kenamaan, Ahli Politik, Artis, Ahli Sukan

KUALA LUMPUR – Berikut ialah kronologi kemangkatan kerabat diraja dan kematian orang kenamaan artis, pemuzik dan ahli sukan sepanjang tahun 2015.

 

Januari:

 

9 Jan – Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya’kub meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Kuching, Sarawak.

 

15 Jan – Datuk Kasim Nyak Maon, 82, penterjemah kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein ketika melakukan lawatan pertamanya ke China, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sebuah hospital pakar swasta di Damansara, Kuala Lumpur.

 

22 Jan – Bekas Duta Besar Malaysia di Peru Datuk Ahmad Mokhtar Selat, 66, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat barah.

 

Ahmad Mokhtar merupakan antara kira-kira 500 orang termasuk beberapa Duta Besar asing yang lain menjadi tebusan selama 12 hari dalam peristiwa penawanan kediaman rasmi Duta Besar Jepun oleh pengganas Tupac Amaru Revolution Movement (MRTA) pada 17 Dis 1996.

 

24 Jan – Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya, Seri Kembangan, Selangor.

 

24 Jan – Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar, 86, Raja Permaisuri Agong keempat dan permaisuri kepada Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, mangkat di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.

 

29 Jan – Bekas jaguh golf negara Darwis Deran, 83, meninggal dunia akibat kanser darah, di rumahnya di Kampung Tersusun Batu 6, Tambun, Ipoh, Perak.

 

Februari:

 

3 Feb – Ahli bina badan terkenal era 50-an Ahmad Ali, 84, atau dikenali sebagai Mat Tarzan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat kemalangan jalan raya di Bayan Baru, Pulau Pinang.

 

12 Feb – Pengulas sukan Datuk Hasbullah Awang, 63, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat komplikasi jantung.

 

12 Feb – Bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, yang menghidap kanser prostat meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan.

 

18 Feb – Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Rahim, 73, meninggal dunia di kediamannya di Persiaran Wira Jaya Barat 60, Rapat Setia Baru, Ipoh, Perak akibat komplikasi hati.

 

Mac:

 

8 Mac – Pelakon komedi terkenal Harun Salim Bachik atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim, 55, meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak.

 

April:

 

3 April – Wartawan hiburan terkenal ‘Mama Juwie’ atau nama sebenarnya Abdul Jalil Salleh, 62, meninggal dunia akibat kanser usus di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.

 

4 April – Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis maut dalam kejadian helikopter terhempas di Semenyih, Selangor.

 

30 April – Penerbit filem dan pelakon terkenal sekitar 70-an, Julie Dahlan, 62, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.

 

Mei:

 

8 Mei – Datin Habibah Mahmud iaitu isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar yang mengikuti program rasmi kerajaan Pakistan ke Lembah Naltar merupakan antara enam orang yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan.

 

Jun:

 

13 Jun – Pemain import pasukan T-Team David Faramola Oniya, 30, meninggal dunia ketika perlawanan persahabatan di antara Kelantan dan T-Team, kelab dari Terengganu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan.

 

17 Jun – Tokoh pembangunan sukan berbasikal Perlis, Maniam Manickam, 65, meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah klinik swasta di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

 

20 Jun – Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Tan Sri Omardin Mauju, 74, meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat komplikasi buah pinggang.

 

Julai:

 

1 Julai – Penyanyi lagu-lagu Melayu Asli, Samsudin Lamin, 76, meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru, di kediamannya di Kuang, Rawang, Selangor.

 

10 Julai – Bekas anggota exco Perlis, Datuk Loh Yoon Foo, 70, meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor setelah menghidap masalah kesihatan mengenai tulang som-som.

 

16 Julai – Pemuzik dan komposer terkenal Abdul Rahim Othman, 60, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

 

21 Julai – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Bengoh di Sarawak, Datuk William Tanyuh Nub, 69, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, Kuching, Sarawak akibat kanser darah.

 

Ogos:

 

17 Ogos – Pesuruhjaya PAS Sarawak Adam Ahid, 66, meninggal dunia di Institut Jantung Negara Kota Samarahan, Sarawak akibat serangan angin ahmar.

 

18 Ogos – Seniman veteran Abdul Karim Abdul Latiff, 78, yang lebih dikenali sebagai Karim Latiff meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser paru-paru.

 

22 Ogos – Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffar, 86, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat masalah jantung.

 

September:

 

4 Sept – Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ariffin Said, 76, meninggal dunia akibat kanser pankreas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, Kelantan.

 

16 Sept – Mayat Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, yang dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 Sept, ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah, Subang, Selangor.

 

Oktober:

 

1 Okt – Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng, 88, antara perunding utama Rundingan Damai Haadyai pada 1989 yang membawa kepada pembubaran dan peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM), meninggal dunia kerana sakit jantung di kediaman anaknya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

 

6 Okt – Ketua jurulatih pasukan bola sepak Felcra FC, Azman Eusoff, 51, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital KPJ Bandar Perda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 

9 Okt – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah, 51, maut dipercayai ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong, Terengganu selepas pulang daripada solat Jumaat.

 

16 Okt – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Abdul Kadir Talib, 86, meninggal dunia kerana sakit tua di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

 

22 Okt – Hatijah Aam, isteri kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad meninggal dunia di Kedah Medical Centre (KMC) akibat sakit jantung.

 

November:

 

4 Nov – Tunku Hamidah Almarhum Sultan Badlishah, 90, kekanda kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

 

22 Nov – Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Razali Wan Mahussin, 64, meninggal dunia di Kuantan Medical Centre akibat komplikasi kencing manis dan darah tinggi.

 

29 Nov – Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

 

30 Nov – Pelakon dan pelawak terkenal Yussry Edoo, 39, atau lebih dikenali dengan panggilan Yus Jambu meninggal dunia di Hospital Selayang, Kuala Lumpur dipercayai akibat serangan jantung.

 

30 Nov – Lagenda emas sepak takraw negara Abdul Jalil Aziz, 66, meninggal dunia akibat pendarahan pada usus di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah.

 

Disember:

 

1 Dis – Seniwati Mariani atau Mariam Ismail, 82, meninggal dunia akibat kanser usus di kediamannya di Taman Kosmo Jaya, Sentul, Kuala Lumpur.

 

5 Dis – Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, anakanda keempat daripada enam adik-beradik dan putera kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mangkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Baharu, Johor akibat kanser hati.

 

8 Dis – Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Chau Tet On, 78, meninggal dunia di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.