Kelantan Tetap Haramkan Vape, Beri Masa Hingga 31 Januari Kepada Peniaga

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memberi kelonggaran sehingga hujung Januari depan kepada semua peniaga rokok elektronik (vape) untuk mengosongkan premis daripada menjual alatan tersebut sebagaimana arahan yang dikeluarkan sebelum ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, namun begitu, notis pengharaman penjualan vape yang berkuat kuasa 1 Januari ini tidak akan ditarik balik.

 

“Kita memahami masalah mereka yang mahukan sedikit masa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah diarahkan untuk tidak menyita premis-premis terbabit, dalam tempoh sebulan (sehingga 31 Januari),” katanya ketika ditemui di Seminar Tertutup Perbandaran Islam: Pencapaian Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Berdasarkan Pelan Induk 2006-2015, semalam.

 

Menurutnya, kerajaan negeri telah pun mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVMM) Kelantan semalam dan mereka akur dengan keputusan yang telah diputuskan.

 

Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan akan tetap dijalankan bagi memastikan tiada peniaga atau pembekal bahan tersebut gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan.

 

Sebelum ini, peniaga vape negeri ini memohon kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada mereka untuk menghabiskan stok jualan kerana berdepan kerugian yang besar selepas mendapat notis pengharaman penjualan bahan tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.