Jumpa ‘Sultan Melaka’ Bukan Bermakna Saya Gila – Rani Kulup

KUALA LUMPUR — Abdul Rani Kulup Abdullah senang hati menerima “Darjah Paduka Mahkota Melaka” daripada seseorang yang mendakwa “sultan Melaka.”

 

Walaupun menyambut baik darjah kebesaran itu, ketua Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia sendiri tidak pasti status sebenar dakwaan Noor Jan Tuah.

 

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron semalam menyifatkan Noor Jan seorang “yang mungkin tidak waras” dan “hidup dalam alamnya sendiri.”

 

Lelaki berasal dari Perak itu, yang memakai nama baru Raja Noor Jan Shah Tuah, mengaku dirinya sebagai sultan Melaka.

 

Menulis di Facebook, beliau memberi anugerah kebesaran kepada Abdul Rani, yang didakwa Isnin lalu tetapi tidak dinyatakan lokasinya.

 

Dalam foto di media sosial itu, Abdul Rani menyerah bukunya “Ayahanda Rani Kulup #kipidap,” yang dilancarkan September lalu, kepada Noor Jan dengan poster besar di belakang mereka bertarikh 28 September 2013.

 

Popular dengan slogannya “kipidap,” versi bahasa pasar “keep it up,” Abdul Rani juga berkata beliau tidak boleh diberikan label “gila” kerana menghadiri upacara anugerah pingat tersebut.

 

Abdul Rani, selalu membahasakann dirinya “Ayah,” menjadi popular kerana sering tampil dengan pakaian seragam luar biasa ketika membuat pelbagai aduan polis di sini.

 

“Ayah cuma dijemput pihak ‘sultan’ Melaka untuk menerima anugerah dalam majlis itu. Orang sudah jemput, Ayah hadirlah.

 

“Hendak bagi anugerah atau pangkat, Ayah terima sajalah,” katanya kepada ProjekMMO semalam sewaktu diminta mengulas beberapa keping foto di Facebook yang menunjukkan majlis tersebut.

 

“Tetapi apabila jumpa dengan orang yang dilabel gila, bukan bermakna Ayah pun gila. Kita beri contoh, tidak semestinya Ayah jumpa orang Umno, maknanya Ayah orang Umno, atau jumpa orang PAS, Ayah (jadi) orang PAS.”

 

Abdul Rani, yang sering pula disorot media susulan kepelikannya itu, berkata beliau juga hadir untuk mengenali lebih dekat Noor Jan.

 

“Isunya mudah, Ayah jumpa dia itu ada makna tersirat. Satu, untuk menerima anugerah, satu lagi hendak tahu betul ke dia sultan atau tidak itu saja,” katanya lagi.

 

Abdul Rani turut memaklumkan beliau ditunjukkan beberapa “dokumen pengiktirafan” oleh Noor Jan, termasuk kononnya disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

 

Namun, awal 2014, Idris berkata ICJ mengesahkan sijil pengiktirafan sebagai waris kesultanan Melaka milik Noor Jan itu palsu.

 

Ketua menteri Melaka dilaporkan berkata pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka menerima surat penafian badan itu di the Hague, Belanda, pada September 2013.

 

Tahun lalu, Noor Jan ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung beberapa majlis penganugerahan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kerajaan.

 

Pada 14 November 2005, Noor Jan dilaporkan muncul bersama dua daripada empat “permaisurinya” di istiadat penganugerahan watikah gelar adat kesultanan Melaka ke-44 yang dihadiri 500 pengikutnya di sebuah dewan di Gombak, Selangor. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.