Isu kimK: Saya Tahu Apa Saya Buat – Fazura

KUALA LUMPUR — Pelakon popular Nur Fazura Sharifuddin enggan melayan isu “kimK”, dengan alasan beliau “terlalu sibuk” dan kontroversi awal bulan ini pula “remeh.”

 

“Saya malas hendak fikirkan hal itu lagi. Biasalah masing-masing ada pendapat tersendiri dalam hal itu. (Instagram dan Twitter) itu laman sosial dan sesiapa pun berhak untuk bercakap dan menyuarakan pandangan.

 

“Sesiapa pun boleh bercakap apa saja. Namun saya tahu apa yang saya buat dan fikirkan. Niat saya hanya Allah saja yang tahu dalam kes itu,” kata Nur Fazura kepada Harian Metro.

 

Pertelagahan timbul apabila pengguna Vii Narza, nama sebenarnya Nur Atiqah Annuar, mengulas gambar Fazura bersama rakannya di Instagram dengan ungkapan “macam kimK yang di depan itu.”

 

Peniaga tudung itu mendakwa perkataan “kimK” merujuk selebriti popular Kim Kardashian tetapi penyanyi lagu “Sayangi Dirimu” tersalah faham.

 

Pelakon itu pula menyangka ia bermakna kesat sehingga mempersoalkan penampilan bertudung Atiqah.

 

Bagi Fazura, yang menanti filem terbarunya “Langit Cinta,” isu “kimK” sudah selesai dan tidak perlu ia dipanjangkan lagi.

 

“Hidup saya terlalu sibuk dengan pelbagai komitmen kerja tahun ini, jadi saya tiada masa hendak memikirkan hal remeh-temeh begitu,” jelas pelakon “Pisau Cukur” itu.

 

“Saya anggap hal itu sudah selesai dan tidak ada apa hendak diceritakan lagi. Saya tidak ambil tahu dan malas hendak komen untuk kes itu,” tambahnya, yang diangkat pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia 2015.

 

Susulan salah faham itu, pada 2 Disember lalu, peminat-peminatnya mendesak pelakon filem “Gol dan Gincu” itu memohon maaf kepada Atiqah.

 

Mereka juga mempersenda namanya dan ungkapan tersebut sehingga #Fazura dan #kimK menjadi topik terhangat di Twitter pada hari tersebut.

 

Fazura dan Nur Atiqa masing-masing mendesak memaafkan yang lain, namun kedua-duanya masih belum berbuat demikian berhubung kontroversi itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.