DAP Ditawarkan RM1.2 Bilion Untuk Menang PRU13, Bina Kem Tentera Israel Sebagai Balasan?

KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin mengecam keputusan kerajaan menyekat kemasukan pelayar Israel ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa, hanya mengundang persoalan hubungan parti itu dengan Israel.

 

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, perkara seperti itu bukan perkara baru dan pernah dibangkitkan Mohamed Razali Abd Rahman yang merupakan bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, empat tahun lalu.

 

“Dakwaan yang dilontarkan saudara Mohamed Razali tentang hubungan DAP dan Israel ini lebih serius, malah apa yang didedahkan itu lebih mengancam keselamatan negara dan sensitiviti umat Islam di Malaysia.

 

“Sekurang-kurangnya, saudara Mohamed Razali melontar tiga dakwaan serius yang sehingga hari ini tiada penafian jelas daripada DAP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Mohamed Razali sebelum ini mendakwa, pakar risikan Israel terlibat dalam melatih G17 atau kumpulan 17 pakar strategi DAP yang diketuai Tony Pua dan Guan Eng yang sering ke Singapura menemui wakil Kedutaan Israel.

 

Selain itu, DAP didakwa ditawarkan dana sebanyak AS$300 juta (RM1.2 bilion) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu oleh Israel dan sebuah pangkalan tentera Israel baru akan dibina di Port Dickson sebagai balasan, jika DAP berjaya menawan Putrajaya.

 

Menurut Mohd Zuhdi, ketiga-tiga dakwaan tersebut tidak pernah dijawab atau dinafikan dengan jelas oleh pimpinan DAP.

 

“PPP melihat tiada cara lain untuk DAP membersihkan tuduhan-tuduhan ini, melainkan mendakwa saudara Mohamed Razali di mahkamah.

 

“Setelah lebih empat tahun berlalu, tiada penafian yang jelas daripada kepimpinan tertinggi DAP, sepertimana yang dilakukan Chong Zhemin dalam isu terbaru.

 

“Kegagalan DAP menafikan dakwaan tersebut akan menyebabkan persoalan tentang hubungan DAP dan Israel masih tidak terjawab,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, dakwaan kononnya DAP akan membina sebuah kem tentera Israel di Port Dickson, jika parti itu berjaya menawan Putrajaya, disifatkan sebagai “merepek”.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof Dr P. Ramasamy berkata, dakwaan-dakwaan yang dilemparkan itu tiada “kredibiliti”.

 

“Macam macam kita nak jawab tuduhan-tuduhan ini. Tiada siapa yang berminat menjawabnya.

 

“Apabila kami menjawab, kami memberi sedikit kredibiliti kepada tuduhan-tuduhan itu, padahal ia memang tiada kredibiliti,” kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada The Rakyat Post, pada Rabu. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.