Tercekik Gigi Palsu

SEGAMAT – Seorang lelaki tercekik gigi palsu ketika bersarapan bersama isteri di rumahnya di Jalan Buloh Kasap di sini, semalam.

 

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Julaiman Adon, 52, pada mulanya disangka diserang sakit jantung kerana mengalami kesukaran bernafas.

 

Isterinya, Saiyah Abdullah, 48, berkata suaminya yang sedang makan nasi berlauk telur goreng dan sayur, tiba-tiba tersedak dan meminta segelas air kosong.

 

“Selepas minum air beberapa teguk, Julaiman mengadu susah bernafas. Apabila saya memeriksa dalam mulutnya, baru saya tahu dia sebenarnya tercekik gigi palsunya,” katanya, lapor BH.

 

Berikutan itu, Julaiman dikejarkan ke Hospital Segamat. Sebaik tiba di hospital, pegawai perubatan yang memeriksa mengesahkan gigi palsu Julaiman sepanjang kira-kira dua sentimeter tersekat di rongga kerongkong.

 

Doktor berjaya mengeluarkan gigi palsu berkenaan beberapa minit kemudian.

 

Saiyah berkata, walaupun tidak membabitkan pembedahan ketika mengeluarkan gigi palsu itu, suaminya ditahan di wad semalaman bagi membolehkan doktor membuat pemantauan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.