Tiada lagi jemputan untuk PAS sertai program, hanya PKR, DAP

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak lagi akan menghantar jemputan kepada PAS bagi menghadiri program anjuran mereka susulan larangan daripada pimpinan pusat parti Islam itu agar ahli mereka tidak terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, menghormati arahan PAS Pusat itu, NGO pro-Pakatan Rakyat (PR) itu memutuskan hanya akan menghantar jemputan kepada pimpinan sekutu dalam PR daripada PKR dan DAP bagi melibatkan diri dan menyertai aktiviti mereka.

“Kita kesal kerana maklumat mengenai surat pekeliling itu hanya diketahui melalui pihak ketiga, bukan daripada PAS Pusat sendiri.

“Sepatutnya selepas mereka mencapai kata putus tentang isu ini, satu surat pemberitahuan secara rasmi perlu dihantar kepada kami,” kata Phahrolrazi menurut laporan Sinar Harian Online hari ini.

Pihaknya turut melahirkan kekecewaan kerana mereka sering memberi kerjasama yang baik kepada PAS termasuk menghadiri mesyuarat, menerangkan matlamat PasMa, namun tiada maklum balas yang diterima daripada pertemuan berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah bersemuka dengan pimpinan tertinggi PAS bagi menerangkan matlamat PasMa sebenar. Wakil pimpinan parti itu mengambil laporan. Namun setelah mereka bermesyuarat, tiada sebarang respon yang kami terima,” katanya.

Pekeliling PAS Pusat bertarikh 15 Disember lalu melarang ahlinya di semua peringkat melibatkan diri dengan aktiviti PasMa bagi memelihara keutuhan parti.

Melalui satu mesyuarat, PAS Pusat sebelum ini melarang pimpinannya melibatkan diri dengan PasMa kerana pertubuhan itu dilihat menjadi pendesak di dalam PAS.

Keputusan itu disampaikan kepada semua pimpinan PAS melalui satu pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Agung PAS dan ditandatangani Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ketika ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Johor pada September lalu melabelkan PasMa sebagai “pasar malam” dan beliau tidak mungkin akan mengetuai pertubuhan berkenaan yang sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan PAS dalam PR.

Husam ketika ceramahnya berkata, maklumat yang disebarkan mengatakan dirinya mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu perlu ditapis ahli PAS terlebih dulu tanpa mempercayainya.

“Perlu ada pengesahan. Apabila kita terima sesuatu perkara, tapis dulu, tidak boleh terus telan. Pasma ini saya kira pasar malam. PAS ini pasar raya. Jadi, saya duduk dalam PAS, sebagai naib presiden PAS. Tiba-tiba jadi presiden pasar malam? Tapislah sikit,” katanya.

Pertubuhan berkenaan sebelum ini dikatakan bakal menggantikan PAS dalam PR apabila parti Islam itu mengalami pergeseran antara rakan komponennya berhubung isu menteri besar Selangor, dan terbaru apabila PAS Kelantan berhasrat untuk meneruskan agenda hudud mereka.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga melarang ahli PAS menyertai PasMa sekiranya NGO itu bertukar status menjadi parti politik, dan kerana PAS sudah mempunyai lajnah kebajikan mereka sendiri.

Tuan Ibrahim yakin isu PasMa menjadi alternatif PAS tidak timbul memandangkan dalam sejarah, parti Islam seperti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) tidak akan mampu bertahan lama.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagaimanapun tidak menghalang penubuhan mana-mana organisasi bukan politik yang menyokong PR, sebaliknya melarang penubuhan parti politik Islam kerana ia bakal memberikan kesan negatif kepada PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.