Mayat Warga Indonesia Ditemui

Cameron Highlands – Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah rumah kongsi di ladang sayur  di Jalan Desa Korina, Kampung Raja telah ditemui oleh pasukan penyelamat  jam 11.30 malam tadi.

Warga  Indonesia itu dikenali sebagai Zainullah,27 ditemui pasukan bomba dan penyelamat jam 11.30 malam tadi dalam keadaan tertimbus di lokasi kejadian.

Semalam Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan di luar rumah berkenaan, ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian jam 5.30 petang Selasa.

“Ketika kejadian, mangsa bersama sembilan rakannya yang kesemuanya warga Indonesia sedang berehat.

“Apabila runtuhan itu berlaku, kesemua rakan mangsa dapat keluar dari rumah itu, namun Zainullah dipercayai terperangkap,” katanya kepada pemberita pada Selasa malam.

Beliau berkata, rumah kongsi di atas bukit yang berada dalam ladang sayur-sayuran itu, terletak kira-kira 20 meter dari kaki bukit kawasan perumahan Taman Desa Corina.

Zainullah dan sembilan rakannya merupakan pekerja kontrak membina rumah plastik untuk tanaman sayur-sayuran di sekitar Cameron Highlands.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Cameron Highlands, Yusry Abdullah Sani berkata, mangsa dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam kira-kira dua meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.