Dr Mahathir membidas apa yang disifatkannya sebagai perjuangan “ultra melayu” yang mempertahankan dan mengangkat isu ketuanan Melayu.

Beliau berkata, jika hendak jadi tuan, seseorang Melayu perlu rajin, mempunyai ilmu, tidak menipu, jujur dan berbuat baik.

“Saya ingin beritahu kepada orang Melayu, jangan bercakap pasal ketuanan Melayu kalau masih jadi kuli orang.

“Kalau kita nak jadi tuan kita boleh jadi tuan, tapi nak kena ada ilmu, nak rajin kerja, buat secara baik, jangan tipu, jangan curi, jangan ikut contoh PM yang lama,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri terdahulu sebelumnya, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.