Shahidan Kassim Mengaku Disiasat Polis Kes Cabul

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini tampil membuat penjelasan mengenai kes cabul seorang remaja bawah umur yang dikaitkan dengan dirinya baru-baru ini.

Dalam satu sidang media di parlimen hari ini,  Shahidan bagaimanapun mengaku disiasat polis berhubung kes itu susulan laporan polis difailkan keluarga gadis berkenaan.

Namun beliau mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh tular sedangkan laporan polis telah ditarik balik.

Ditanya sama ada beliau mengesyaki terdapat musuh politik ataupun individu yang sengaja ingin menjatuhkan reputasi beliau, Shahidan menjawab ada manusia yang memilih jalan sebegitu.

“Allah menyediakan syurga dan neraka. Jadi ada orang memilih neraka, dia buatlah cara (hendak masuk) neraka.

“Ada yang memilih syurga, buat cara (hendak masuk) syurga. Mempamerkan aib itu adalah sesuatu yang tidak wajar,”katanya.

Menceritakan lebih lanjut, bekas menteri itu berkata, pada malam kejadian beliau bertemu dengan pelajar itu yang merupakan penyanyi dalam kumpulan  DSSK Busker, yang dinaunginya. DSSK ialah ringkasan bagi nama Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Pengurus kumpulan itu, Encik Azhar berjumpa saya di Yayasan Pok Kassim semasa saya sedang bermesyuarat, dan memaklumkan busker itu memerlukan sedikit dana.

“Pada pukul 11.40 malam, saya telah pergi ke tempat busker itu membuat persembahan, saya memberikan bantuan kepadanya dan terus pulang.

“Esoknya, saya telah berjumpa dengan keluarga remaja tersebut dan terkejut mereka telah membuat laporan polis atas dasar salah faham, dan mereka telah menarik balik laporan tersebut,” katanya.

Mengenai dakwaan kononnya beliau berduaan dalam kereta bersama gadis itu, Shahidan berkata ia adalah benar, namun berkata ia adalah disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan yang dinaikinya.

“Saya anggap anak-anak dan cucu saya. Jadi tidak timbul ingin lebih daripada itu, lagipun saya tak berapa boleh berjalan,”katanya.

Shahidan berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan dirinya itu.

“Saya pasti semua pihak memahami perkara ini dan minta tidak dipanjangkan perkara ini dan kita serah kepada pihak polis.

“Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.