Ratifikasi ICERD Serlah Sikap Sebenar Kerajaan PH Yang Didominasi MP Bukan Islam – PAS

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan yang mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) 

menunjukkan pendirian dan sikap sebenar kerajaan Pakatan Harapan terhadap teras-teras utama Perlembagaan Pesekutuan, kata seorang pemimpin PAS.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga berkata, usaha itu dikhuatiri akan membuka pintu bagi segelintir rakyat membangkitkan pertikaian asas-asas Perlembagaan.

“Ratifikasi ini membelakangkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak yang telah diterima keistimewaannya sejak dahulu dan menjadi asas penubuhan negara ini yang menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Usaha ini juga menunjukkan PH yang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam semakin berani bergerak lebih jauh dengan membuka laluan bagi membolehkan pindaan peruntukan-peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan ini dibuat sekaligus menghilangkan keistimewaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, ratifikasi itu turut akan membenarkan kawalan dan meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas negara ini.

Lebih dibimbangi, ia adalah suatu ancaman terhadap keistimewaan Islam, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini, kata beliau.

Justeru tegas Khairuddin, kerajaan mesti menolak ratifikasi ICERD ini dan konvensyen-konvensyen lain yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan agama Islam serta tidak sesuai dengan sosio-budaya masyarakat negara ini. 

“Saya juga mendesak supaya Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (National Human Rights Action Plan, NHRAP) yang dirangka oleh Kerajaan sama ada menerusi SUHAKAM atau perunding lain selepas ini, mestilah melibatkan semua pihak berkepentingan dan dirujuk dahulu kepada para ulamak dan cendikiawan Islam sebelum ia dijadikan dokumen dasar rasmi Kerajaan,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy dipetik berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.