Pesawat Lion Air Terbang Laju 638 km/j Sebelum Menjunam Ke Dasar Laut

JAKARTA – Pesawat Boeing 937 MAX Lion Air kelihatan terumbang-ambing, hampir mendatar dengan muncungnya agak menjunam ketika terhempas ke dalam laut di Tanjung Kerawang, Isnin lalu.

Menurut dua nelayan menyaksikan kejadian itu, kedengaran letupan ketika muncung pesawat menjunam ke dalam laut sebelum kelihatan kepulan asap.

“Dari jauh saya nampak ia sudah condong (menjunam)” kata seorang nelayan terbabit, Gauk.

Berdasarkan rekod FlightRadar24, pesawat berkenaan terbang dalam keadaan tidak menentu dari Bali ke Jakarta pada malam sebelum hari kejadian.

Beberapa minit selepas berlepas dari Denpasar di Bali pada petang Ahad, pesawat berkenaan terbang pada ketinggian serta kelajuan tidak menentu

Ia turut mencatatkan penurunan ketinggian mendadak sebanyak 266 meter dalam tempoh 27 saat ketika ia sepatutnya terbang menaik sebelum stabil dan meneruskan perjalanan ke Jakarta.

Juruterbang bagaimanapun mengekalkan ketinggian pesawat pada 8,534 meter berbanding 10,973 meter bagi penerbangan laluan yang sama sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air, Edward Sirait, mengakui pesawat itu menghadapi masalah teknikal ketika penerbangan dari Denpasar ke Jakarta namun ia diselesaikan ‘mengikut prosedur’.

Pesawat itu mendarat di Jakarta pada jam 10:55 malam waktu tempatan Ahad lalu, membolehkan jurutera mempunyai masa enam jam setengah untuk memeriksanya sebelum pesawat berlepas ke Pangkal Pinang pada 6.20 pagi, Isnin.

Pesawat itu terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas menyebabkan 189 penumpang serta anak kapal terbunuh.

FlightRadar24 turut melaporkan kelajuan dan ketinggian pesawat Penerbangan JT610 itu yang luar biasa selepas berlepas.

Gambar log penyelenggaraan pesawat berkenaan ketika pemeriksaan di Jakarta tersebar di Internet sejak semalam, namun ia tidak dapat disahkan tulen atau tidak.

Sirait enggan memberitahu masalah teknikal atau penyelenggaraan yang dilakukan di Jakarta namun memberitahu pihaknya sudah menyerahkan log berkenaan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC).

Pengerusi NTSC, Soerjanto Tjahjono, berkata ada persamaan antara log penyelenggaraan yang beredar di Internet dengan log yang diterima daripada Lion Air namun menurutnya, beliau belum menelitinya.

Menurut Reuters, sumber juruterbang dan jurutera menyatakan, berdasarkan data FlightRadar24 bagi kedua-dua penerbangan, ia menunjukkan pesawat berkenaan menghadapi masalah dalam sistem ‘pitot’ statik iaitu alat membekalkan ukuran kelajuan dan ketinggian pesawat kepada komputer penerbangan.

Menurut data FlightRadar24, pesawat berkenaan menunjukkan masalah dua minit selepas berlepas dari Jakarta apabila ia mencapai ketinggian 610 meter.

Ia menurun lebih 150 meter dan condong ke kiri sebelum kembali mendaki ke 1,525 meter.

Pesawat kemudiannya terbang laju pada saat-saat terakhir sebelum terhempas mencapai kelajuan 345 knots (638 km/j) sebelum hilang dari radar pada ketinggian 1,112 meter. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.