VIDEO: NGO Islam Bawa Keranda Simbol Bantah Ratifikasi ICERD

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO-NGO UMMAH hari ini mengadakan perhimpunan aman di luar bangunan Parlimen bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Lebih 100 peserta daripada lapan badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyertai perhimpunan itu di Jalan Parlimen dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

Penganjuran demostrasi itu bagi menyatakan kebimbangan masyarakat Malaysia terhadap ratifikasi ICERD dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum Bumiputera dan agama Islam di negara ini.

Para peserta yang berkumpul di monumen Tugu Negara seawal jam 10 pagi tadi masing-masing memegang sepanduk tertera pelbagai mesej bantahan terhadap ICERD.

Antaranya ICERD adalah Malayan Union 2.0, Pertahankan Perlembagaan Negara, Jangan Cabar Perkara 153, Pertahankan Kuasa Raja-Raja, Melayu Sepakat Islam Berdaulat dan Kerajaan Wajib Pertahankan Hak Islam.

Lebih menarik dalam demostrasi ini apabila segelintir peserta daripada Gabungan NGO-NGO Ummah memikul keranda orang Islam sebagai simbolik kepada bantahan terhadap ICERD.

Sepanjang perhimpunan aman ini, hampir 50 anggota polis ditempatkan sepanjang Jalan Parlimen bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas menuju ke bangunan Parlimen. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.