Ketuanan Melayu Masih Relevan

JOHOR BAHRU – Ketuanan Melayu bukan satu konsep yang direka sesuka hati atau perkara baharu tetapi telah berakar umbi dan berkembang sejak bermulanya sejarah negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep itu kemudiannya dijadikan asas yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial serta dipersetujui sejak rundingan prakemerdekaan negara.

“Sekalipun kita sangat bersetuju bahawa pemahaman dan pendekatan dalam mengiktiraf ketuanan Melayu harus berubah dan berkembang seiring kemajuan zaman, teknologi dan globalisasi, ini tidak sesekali bermakna ia seharusnya dijadikan tidak relevan dan dianggap tidak penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lalu ketika berucap dalam Forum Ekonomi Belia 2018 di Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan parti itu.

Mohamed Khaled berkata, agak melucukan apabila parti politik dengan nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa konsep ketuanan Melayu dihapuskan.

Bekas Menteri Besar itu berkata, perkara tersebut bercanggah dengan nama, agenda politik serta naratif sebuah parti yang penubuhannya sendiri berasaskan kepenti ngan pribumi.

Menurutnya, sesuatu yang konkrit dan lebih baik kepada orang Melayu dan pribumi di negara ini perlu ditawarkan jika banyak masalah sosial dan ekonomi orang Melayu.

“Bukankah ini promosi yang menjadi kebanggaan dan penegasan Pengerusi Bersatu sendiri bahawa parti tersebut layak dan mampu menjaga Melayu dengan lebih baik berbanding UMNO?,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.