Ibu Mangsa Bunuh Bantah Cadangan Mansuh Hukuman Mati

KUALA LUMPUR – Sim Yee Ling yang kehilangan anak perempuannya dalam satu kes pembunuhan telah melancarkan satu kempen dalam talian untuk menentang pemansuhan hukuman mati.

Kempen melalui media sosial itu diadakan selepas kerajaan bertekad untuk memansuhkan hukuman mati dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memberitahu tidak akan berlaku “pusingan U” dalam keputusan itu.

“Saya membantah penghapusan hukuman mati, tetapi kekuatan saya dalam hal ini adalah terhad.

“Oleh itu, saya berharap dapat menggunakan laman Facebook untuk membangkitkan kesedaran supaya kita bersama-sama membantah,” katanya kepada China Press.

Yee Ling kehilangan anak perempuannya, Ng Yuk Tim yang berumur 15 tahun dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur pada 2013 selepas dia dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian.

Pada April tahun ini, seorang lelaki, Poon Wai Hong dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah membunuh Yuk Tim, yang merupakan seorang pelajar cemerlang.

Sebaik sahaja mendengar berita bahawa hukuman mati akan dimansuhkan, ibu yang kehilangan anak itu telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan menyatakan: “sampah masyarakat seperti ini tidak layak diberi peluang kedua,”

Yee Ling berkata, dia berharap laman yang diwujudkan untuk membantah pemansuhan hukuman mati akan mendapat perhatian lebih 10,000 pengguna Internet.

Katanya, dia juga berharap pegawai kerajaan akan melayari laman itu untuk membaca komen-komen yang membantah penghapusan hukuman mati.

“Kami akan terus mempelawa mereka yang berbakat dalam tulisan, lukisan dan bicara untuk menyumbangkan karya mereka,” katanya.

Tambah Yee Ling, pihaknya juga bersedia untuk menghantar memorandum kepada kerajaan bagi membantah keputusan kerajaan itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.