Ahli Parlimen UMNO ‘Lompat’ PH Tetap Akan Disiasat – Anwar

KUALA LUMPUR: Siasatan akan tetap diteruskan terhadap mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang mahu ‘melompat’ ke Pakatan Harapan (PH).

Tegas Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini kerana penyertaan pemimpin UMNO terutamanya yang mempunyai rekod buruk bakal mengundang implikasi negatif terhadap blok pemerintah.

“Ada orang umpanya yang ada rekod, memimpin kementerian-kementerian kanan dengan segala kerosakan yang berlaku kemudian rasa selamat sekiranya menyeberang ke Pakatan Harapan.

“Proses siasatan harus terus,”kata Anwar dalam satu temubual bersama Astro Awani.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengakui bahawa desas desus mengenai kemungkinan 40 Ahli Parlimen daripada UMNO mahu menyertai PH menimbulkan kegusaran dan kebimbangan.

Malah beliau membangkitkan dua persoalan mengenai perihal ‘lompat’ tersebut. 

“Apakah dengan kekuatan itu ia akan berbalik kepada pengaruh lama dalam sistem kita?”

“Apakah kewajaran terlalu mendesak untuk memanggil terutama mereka yang ada rekod?”, soalnya.

Difahamkan, perkara tersebut akan dibincang dengan lebih lanjut ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu ini.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mengumumkan keluar UMNO pada September lepas.

Tidak lama selepas penyertaan Mustapa,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kira-kira 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan mengikut jejak Ahli Parlimen Jeli itu.

Dakwa Kadir, ada antara mereka telah beberapa kali berjumpa Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.