1MDB Tak Berhutang Dengan IPIC, Kenyataan Kerajaan PH Bercanggah, Kata Najib

SHAH ALAM – Kenyataan daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) bahawa 1MDB tidak berhutang apa-apa wang kepada mereka  secara jelas menunjukkan percanggahan kepada kenyataan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebaliknya IPIC adalah syarikat yang sepatutnya berhutang kepada 1MDB dan perlu membayar menjelang 30 Disember 2020.

“Semalam, kerajaan umumkan bahawa mereka telah memfailkan untuk tindakan membatalkan perjanjian penyelesaian April 2017 antara IPIC dan 1MDB dan berkata mereka tidak akan membayar US$5.78 bilion yang perlu dibayar 1MDB kepada IPIC.

“Sebagai reaksi kepada kenyataan kerajaan Malaysia itu, IPIC mengeluarkan satu kenyataan menyatakan bahawa 1MDB tidak berhutang apa apa wang kepada IPIC yang secara jelas bertentangan dengan kenyataan kerajaan Pakatan Harapan.

“Malah, IPIC adalah syarikat yang sepatutnya berhutang kepada 1MDB dan perlu dibayar kepada 1MDB menjelang 30 Disember 2020. Perjanjian penyelesaian itu adalah bagi meleraikan isu 1MDB agar setiap sen milik 1MDB dapat diperolehi semula.

“Sebab itu, saya telah meminta sekurang-kurangnya 5 kali, menggesa kerajaan untuk mendedahkan perjanjian penyelesaian 2015 dan 2017 antara IPIC dan 1MDB bagi membuktikan bahawa saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan sentiasa dapat dilindungi.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan tidak menghiraukan gesaan berulangkali ini dalam memastikan rakyat tahu fakta sebenar,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan kerajaan yang memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi London semalam untuk mencabar keputusan timbang tara antara 1MDB dan IPIC untuk mengecualikan kerajaan membayar baki AS$4.3 bilion dalam perjanjian penyelesaian yang dicapai Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London tahun lalu.

Beliau turut menyertakan pautan yang melaporkan kenyataan daripada IPIC bahawa 1MDB tidak berhutang dengan syarikat Arab Saudi itu.

Najib semalam berkata kenyataan kerajaan mengenai perjanjian dengan IPIC cuba membina persepsi seolah-seolah dia hendak menipu AS$5.78 bilion wang rakyat untuk membayar Abu Dhabi.

Dalam pada itu, Najib turut mengulas desakan ramai pihak yang bertanya mengapa dirinya tidak mendedahkan ataupun mengulas mengenai penyelesaian ini pada masa lalu. 

“Ini kerana bukan mudah untuk membuat dakwaan ketika anda menjawat jawatan Perdana Menteri apatah lagi ia melibatkan kerajaan negara asing. 

“Saya berpendirian bahawa kerajaan kita tidak seharusnya senang untuk cari gaduh dengan negara lain dan saya lebih memilih untuk mencari jalan penyelesaian secara baik dan tanpa kekecohan,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.