Shiha Zikir Pilih Saharul

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir, mempunyai alasan tersendiri untuk memilih pelakon berstatus suami orang, Saharul Ridzwan, sebagai model klip video single baharunya, Jagakan Dia.

Kata naib juara program realiti Mentor musim kelima ini, ketika meneliti jalan cerita video arahan Irwan Rauf terbabit, beliau sudah pun membayangkan wajah pelakon lelaki itu.

“Saya rasa, hanya Saharul yang boleh membawakan watak dalam video muzik lagu ini. Melihat rekod lakonannya selama ini pun, saya yakin dia pilihan terbaik untuk menjayakan klip terbabit.

“Saya sendiri cukup berpuas hati dengan persembahan Saharul. Dia memberikan komitmen dan lakonan yang sangat bagus sepanjang penggambaran berlangsung. Pendek kata, dia berjaya merealisasikan apa yang saya mahukan sebagai penyanyi, menerusi video ini,” kata Shiha.

Ditemui pada majlis pelancaran klip berkenaan di ibu kota, Shiha, 29, mendedahkan, video muzik yang dirakam pada 3 September lalu di sekitar ibu negara diilhamkan daripada kisah benar seorang teman.

Menurut Shiha juga, Jagakan Dia yang dicipta sepenuhnya oleh Ippo Hafiz mempunyai nilai sentimental buat dirinya.

“Lagu ini menjadi buah tangan pertama dihasilkan di bawah syarikat saya sendiri, SZ Entertainment.

“Ia pula bukan sekadar lagu yang bercerita mengenai cinta di antara kekasih, malah mempunyai pengertiannya cukup luas.

“Saya sendiri, umpamanya, terus teringatkan ibu bapa saya selepas menghayati lagu ini buat kali pertama. Ia antara sebab mengapa saya bersetuju untuk merakamkannya,” kata Shiha yang turut dilantik sebagai duta produk kecantikan, Airish.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.