Mohon Bantuan Untuk Pelarian Syria

REYHANLI – TURKI . Konflik berdarah di Syria terus memuncak dan memerlukan perhatian termasuk bantuan dari segi kos perubatan serta tempat tinggal.

Kebanyakan mangsa yang kritikal dibawa menyeberangi sempadan negara jiran termasuk ke Turki. Meskipun mendapat rawatan percuma yang disediakan Ankara, sebahagian besarnya memerlukan pelbagai rawatan susulan termasuk pembedahan lanjut, fisioterapi, anggota badan palsu dan sebagainya.

Namun begitu bagi pelarian Syria yang lain mereka cuba membantu dengan menyediakan pusat penempatan sementara untuk menempatkan mereka yang tercedera supaya tidak terbiar dan bergelandangan di jalanan, lapor Sinar.

Dar Aafi adalah antara premis yang menjadi tempat singgahan pelarian sementara menanti rawatan. Bertempat di tengah bandar Reyhanli, tingkat bawah bangunan apartment enam tingkat ini menempatkan lebih 30 mangsa yang menunggu giliran.

Penolong Penyelia Dar Aafi, Ahmad Huzuri berkata, dia mengalami kecederaan kekal di bahu dan lengan kiri selepas terkena peluru Rejim Presiden Bashar al Assad.

“Kami di sini beroperasi secara sendirian atas sumbangan orang ramai.

“Kos ubat-ubatan dan sewa bangunan antara cabaran utama,” katanya ketika ditemui Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.

Berkeluasan sekitar 2,000 meter persegi dengan tiga bilik, ia bukan satu keadaan yang selesa kepada penghuninya apatah lagi melihat keadaan serba kekurangan dari segi kakitangan, berkepakaran serta sewa yang tinggi.

Tambah Ahmad, sesetengah daripada pelarian yang cedera terpaksa menunggu masa yang panjang untuk rawatan.

Dalam pada itu, Syria Care bersetuju untuk membantu penyeliaan Dar Aafi bagi enam bulan pertama dan baki selebihnya akan dibuat dalam tempoh masa terdekat.

“Hati sangat sayu ketika memasuki rumah tiga bilik itu yang dari ruang tamu penuh dengan penghuni. Apabila diberitahu mereka terpaksa keluar andai sewa rumah tidak dibayar tanpa teragak-agak terus buat keputusan untuk pembayaran sewa rumah.

“Mereka ini mangsa peperangan. Tercedera dan perlukan sokongan kita,” kata Siti Sakinah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.