Kutip Derma Dari Rakyat Tapi Pemimpin Naik Pesawat Kelas Bisnes

KOTA KINABALU – Posting di Facebook yang menunjukkan Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman terbang menggunakan kelas bisnes mencetuskan kekecohan di kalangan netizen.

Netizen mempersoalkan mengapa derma awam dikutip untuk ikat jamin Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala pemimpin lain menaiki pesawat dengan duduk di kelas bisnes.

Azis memuatnaik gambarnya duduk di kelas bisnes bersama dengan Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony dalam pesawat yang menuju ke Kuala Lumpur.

Difahamkan mereka dalam perjalanan untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat di mana Shafie sepatutnya menyampaikan ucapannya.

Netizen turut berkongsi gambar Anthony berjalan dengan ahli parti sambil memegang kotak derma dan meminta sumbangan daripada orang ramai.

Salah seorang pengguna Faceook menerusi ruangan komen di Facebook Azis menggesa pemimpin itu supaya memulihkan imej parti dengan menaiki kelas ekonomi.

“Ini sedikit teguran daripada saya,” tulis Shaiful.

Namun ada segelintir netizen mempertahankan tindakan pemimpin tersebut dengan mengatakan mereka mungkin tidak dapat membeli tiket kelas ekonomi kerana tempahan dibuat pada saat akhir.

Warisan berjaya mengutip derma sebanyak RM112,000 daripada orang ramai sebagai wang ikat jamin Shafie yang dibebaskan pada Jumaat lalu selepas ditahan reman lapan hari.

Shafie ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Beliau antara 13 individu yang ditahan termasuk Azis dan Anthony. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.