Giant Kecilkan Saiz Operasi Hadapi Cabaran Jualan Dalam Talian

PUTRAJAYA – Penutupan operasi lima cawangan pasar raya besar, Giant bermula 5 November ini tidak ada kaitan dengan masalah ekonomi negara seperti didakwa segelintir pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pemilik pasar raya itu, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, sebaliknya dalam perancangan mengecilkan saiz pasar raya itu berikutan aliran pengguna yang lebih gemar membeli secara dalam talian.

“Mereka menjelaskan mahu mengecilkan saiz premis kerana aliran terkini pembelian barangan melalui ‘e-commerce’. Bila mahu mengurangkan saiz, mereka memerlukan premis yang lebih kecil.

“Ia lebih kepada aliran dan landskap perniagaan, bukan masalah ekonomi seperti yang dimainkan pembangkang. Jadi, adalah adil untuk kita (kementerian) membenarkan mereka mengecilkan saiz daripada pasar raya besar kepada pasar raya. Kini masih dalam peringkat rundingan,” katanya.

Hamzah berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Henry Sum Agong.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd memaklumkan akan menutup lima pasar raya besar Giant bermula 5 November ini.

Ia membabitkan Giant di Sri Manjung, Perak; Sungai Petani, Kedah; Sibu, Sarawak; Shah Alam City Centre (SACC) Mall dan Selayang Lama, Selangor bagi mengkaji semula operasi, meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Bagaimanapun, beberapa pihak mendakwa penutupan pasar raya berkenaan ada kaitan dengan masalah ekonomi negara dan bertentangan dengan kenyataan kerajaan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang baik.

Hamzah berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penutupan sesebuah perniagaan, antaranya disebabkan persaingan dan perjanjian sewaan bangunan dengan pemilik bangunan.

Katanya, ketika ini, Malaysia mempunyai 119 pasar raya besar milikan asing termasuk 51 pasar raya besar Giant, manakala 71 pasar raya Giant. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.