Aznil Ambil Risiko

Berpuluh tahun mengabdikan diri dalam bidang pengacaraan, tidak salah rasanya untuk meletakkan Datuk Aznil Nawawi, 54, sebagai antara pengacara terbaik dalam negara.

Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil sudah mengemudi pelbagai program televisyen dan rata-ratanya mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

Terkini, Aznil tampil dengan program jualan langsung Go Pak Nil yang disiarkan di saluran Go Shop. Ternyata, ada yang menganggap sebagai seorang pengacara yang berpengaruh, program Go Pak Nil itu dilihat tidak sesuai dengannya.

Ada yang beranggapan program itu tidak cukup premium dengan status dan pengalamannya. Aznil harus mengendalikan program yang bukan sahaja popular tetapi juga tinggi kualitinya.

Namun bagi Aznil, sebagai seorang pengacara dan profesional, dia sentiasa inginkan sesuatu yang baharu dalam kerjaya.

“Saya sentiasa mahu mencabar diri saya dan Go Pak Nil bagi saya adalah program yang cukup premium di saluran Go Shop. Kalau ada yang melihat program jualan langsung ini sebagai sesuatu yang kecil, mari sama-sama kita besarkan,” jelasnya.

Mengimbas kembali sejarahnya sebagai pengacara, menurut Pak Nil, dia pernah tampil dengan idea untuk mewujudkan sebuah program bual bicara iaitu Macam Macam Aznil.

Ketika itu, program bual bicara bukanlah rancangan yang sering mendapat tontonan tinggi. Tetapi Aznil sedaya upaya mencuba untuk meningkatkan penonton sehingga diberi pengiktirafan sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura.

Begitu juga dengan program yang mengangkat kanak-kanak sebagai subjek utama. Ketika idea itu muncul, rancangan kanak-kanak sering dipandang remeh oleh audiens tempatan.

“Hendak mencari penaja pun susah untuk menjayakan sebuah program kanak-kanak. Tetapi saya berusaha untuk menjadikan sesuatu yang kecil menjadi besar. Akhirnya, lihat program Tom Tom Bak yang sehingga kini menjadi sebutan ramai.

“Malah sehingga kini, walaupun sudah lama tidak bersiaran, orang masih ingat lagi nama Tom Tom Bak,” jelasnya.

Justeru Go Pak Nil baginya mungkin kelihatan berada di tahap rendah bagi sesetengah orang namun dia akan cuba untuk mengangkat program tersebut bukan sekadar menjadi bualan ramai tetapi jika boleh mahu dibawa sehingga menjadi satu ekspo dan sebagainya.

Pengacara atau penjual?

Mengemudi rancangan jualan langsung, Aznil mengakui, dia mengambil risiko yang cukup besar terutama melibatkan kredibilitinya. Oleh sebab itu, dia menganggap dirinya sebagai testimoni, bukannya seorang pengacara ataupun penjual.

“Saya sudah membina nama berpuluh tahun. Begitu juga hubungan dengan peminat yang sudah terjalin sejak sekian lama. Jadi, apabila saya menjual sesuatu produk, saya kena pastikan sesuatu yang boleh dipercayai dan bukannya sekadar untuk jual dan dapat keuntungan,” jelasnya.

Tambahnya, jika dia tidak menguji semua produk yang dipromosinya, perkara itu akan memberi kesan kepada namanya kerana menjual sesuatu produk yang tidak berkualiti dan sebagainya.

“Itulah risiko yang saya ambil dan sebab itu saya sentiasa berhati-hati dengan setiap produk yang ingin dijual. Saya kena pastikan produk itu betul-betul berkualiti.

“Semua produk di Go Pak Nil sudah disaring terlebih dahulu sebelum dijual. Saya sendiri sudah beberapa kali menolak beberapa produk yang tidak menepati tahap kualiti saya,” jelasnya.

Bakal tampil dengan musim kedua Go Pak Nil, Pak Nil mahukan lebih banyak interaktif dengan penonton baik di studio mahupun di rumah.

Selain itu, dia juga mahu mencabar dirinya untuk tampil dengan produk-produk teknologi yang mungkin dianggap sesuatu yang sukar bagi mereka yang seusia dengannya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.