Sukri Bunuh Diri Kerana Mangsa Sistem, Kata AMANAH

KUALA LUMPUR – Lelaki yang membunuh diri dengan terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan beliau menjadi mangsa kepada sistem yang menindas, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

 

Beliau mengulas tindakan Mohd Sukri Saad, 38 terjun dari jambatan berkenaan kerana kecewa dengan tindakan pihak berkuasa ke atasnya.

 

“Perbuatan bunuh dirinya tidak banyak mendapat liputan tetapi tujuan perbuatannya melalui nota di Facebook yang diposkan membawa kepada satu rumusan bahawa mangsa kecewa dengan sistem yang menindas si miskin dan membiarkan yang kaya terus melahap,” katanya.

 

“Sukri Saad adalah mangsa sistem, ia bukan cara terbaik untuk melahirkan kekecewaan tetapi melambangkan sistem yang menghukum rakyat marhaen demi sesuap nasi dan membiarkan yang berkuasa dan kroninya terus merompak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mujahid turut merujuk beberapa kes bunuh diri kerana kecewa dengan kerajaan seperti kematian Sami Buddha, Thick Quang Duck yang membakar dirinya pada tahun 1963 di Vietnam akibat menentang rejim zalim.

 

Selain itu, katanya, Tariq Mohamed Bouzizi membakar diri di Tunisa kerana membantah penguatkuasa mendenda dan merampas buah-buahan yang dijaja di tepi jalan sehingga menjadi ikon kebangkitan Arab, bermula di Tunisia.

 

“Perbuatan bakar diri Bouazizi tenggelam, yang menjadi perbualan ialah kezaliman regim menindas usaha rakyat mencari sesuap nasi dan membiarkan pemimpin menyamun duit rakyat berleluasa. Revolusi rakyat bermula, Bouazizi menjadi wira,” kata Mujahid.

 

Jangan ada lagi ‘Sukri kedua’

 

Rabu lalu, jasad Sukri yang terjun dari jambatan berkenaan ditemui selepas meninggalkan catatan terakhir di Facebook.

 

Dalam catatan yang panjang dan tersebar meluas di laman sosial itu, Sukri berkata dirinya tertekan oleh “kerajaan yang zalim” kerana menjual rokok seludup bernilai RM360.

 

Berdepan dengan kemungkinan penjara dan denda yang besar, dia mengakui apa yang dilakukannya itu salah, namun tidak sanggup berdepan hukuman berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Mujahid berkata kerajaan masih belum menjawab skandal RM2.6 bilion dan lain-lain skandal ‘angkara kelompok elit politik’, sedangkan rakyat hidup susah.

 

“Allahyarhan Sukri Saad hanya sebahagian mangsa kefasadan politik dan rasuah yang membengkak.

 

“Jangan ada lagi Sukri Saad kedua, cukuplah kita bangun dari mimpi kita yang panjang. Biarlah mesej Sukri Saad mengingatkan kita satu perkara, selamatkan negara,” kata Mujahid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.