Mufti Perlis Tolak Program Penerangan Mengenai Hudud

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa ‘menolak’ permohonanan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan majlis penerangan berkenaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 di negeri itu baru-baru ini.

 

Menurut sumber, NGO di negeri Perlis itu terpaksa membatalkan majlis penerangan yang sepatutnya diadakan pada 22 Oktober lalu kerana tidak mendapatkan kelulusan pejabat Mufti.

 

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu turut mendedahkan walaupun majlis penerangan tersebut telah mendapat kelulusan dari Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan namun Asri dikatakan bertegas untuk tidak membenarkan ia diadakan.

 

“Program tersebut pada awalnya telah mendapat kelulusan dari Menteri Besar namun ia terpaksa dibatalkan kerana Mufti enggan memberi kebenaran.

 

“Kami difahamkan Asri tidak bersetuju program tersebut diadakan kerana tidak sehaluan dengan salah seorang ahli panel yang dijemput penganjur,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Pihak penganjur sebelum ini menjemput Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa selaku ahli panel yang bertujuan untuk memberi kefahaman kepada umat Islam di Perlis.

 

Sementara itu Pegawai Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Mahmud Hishamuddin ketika dihubungi enggan memberikan ulasan lanjut berhubung isu tersebut.

 

“Saya tak berani nak komen lebih-lebih pasal isu itu, sebab kami pun dengar dari cakap orang ada baiknya hubungi penganjur untuk komen,” katanya ringkas.

 

Sumber itu turut menjelaskan wakil NGO dan Exco agama negeri Perlis telah mengadakan satu perjumpaan dengan Asri berhubung isu ini namun Mufti Perlis itu tetap enggan memberikan kelulusan.

 

“Asri menggesa pihak penganjur menukar program penerangan RUU355 itu dan tidak mahu ahli panel tersebut yang terbabit dalam program itu.

 

“Amat sedih Perlis mendapat Mufti sebegini, usaha memartabatkan Islam dihalang kerana ada pihak tidak sehaluan dengan ideologinya,” kata sumber itu lagi.

 

Beliau turut menjelaskan keputusan Asri itu bukan perkara luar biasa, kerana Mufti Perlis itu telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang menolak pelaksanaan Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS.

 

Malah kenyataannya seringkali dilihat ‘senada’ dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR yang konsisten menolak RUU persendirian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.