Kalau PPBM Serang Saya, Saya Akan Serang Balik – Khairuddin

SHAH ALAM – Penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan enggan menafikan atau mengesahkan wujud perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan.

 

Bercakap kepada Antarapos, Khairuddin kelmarin berkata setiap pertubuhan parti politik tidak terlepas daripada budaya berpuak-puak, termasuk PPBM.

 

“Dalam mana-mana pertubuhan politik, perkara ini (perpecahan) normal. Benda ini akan berlaku. Tidak siapa boleh nafi perkara ini boleh berlaku. Dan sebab itulah saya nasihat, dalam PPBM ini jangan ada berpuak-puak.

 

“Kalau mereka berpuak-puak, ada puak Mahathir, ada puak Muhyiddin, ada puak Mukhriz, parti akan lingkup. Akhirnya masing-masing akan jaga kepentingan (puak) masing-masing,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakannya melangkah kaki keluar daripada parti tersebut dipengaruhi oleh konflik dalaman PPBM.

 

Khairuddin yang juga bekas pemimpin Umno Pulau Pinang turut memberi amaran akan mendedahkan ‘sesuatu’ berkenaan parti itu sekiranya terdapat pemimpin PPBM yang menyerang beliau berhubung tindakannya keluar parti.

 

“Dan dalam isu ini, saya akan membuat kenyataan yang jelas, tetapi saya nak tengok tindak balas PPBM terhadap saya. Kalau mereka (PPBM) serang saya, saya akan buat satu kenyataan balik yang mendalam.

 

“Kalau mereka (PPBM) menyerang saya, saya nak bagi amaran, saya akan bercakap sesuatu secara panjang lebar,” tambahnya.

 

Khamis lalu dalam satu kenyataan, Khairuddin mengumumkan keluar daripada PPBM untuk memberi fokus kepada kes-kes mahkamah yang dihadapinya termasuk kes dalam dan luar negara yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.