Hospital Medan Mula Beroperasi Hari Ini Di HSA

JOHOR BAHRU – Selepas dua hari melalui proses pemasangan dan penyelenggaraan, Hospital Medan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, akan memulakan operasinya secara rasmi mulai jam 8 pagi tadi.

 

Perkhidmatan Hospital Medan yang beroperasi 24 jam itu akan memberi fokus kepada rawatan kecemasan dan pembedahan resusitasi.

 

Tinjauan Harian Metro (HM) di HSA mendapati kerja pemasangan dan persiapan Hospital Medan itu berjalan lancar dengan kerjasama kedua-dua pihak, ATM dan HSA.

 

Difahamkan, ATM sudah selesai menyiapkan Hospital Medan itu sementara menunggu pihak HSA membawa masuk kelengkapan perubatan dan rawatan sebelum dibuka operasinya pagi ini.

 

Kelmarin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Abdul Razak Md Yusoff pada sidang medianya berkata, seramai 20 hingga 30 pegawai dan anggota ATM ditempatkan di HSA bagi mengendalikan Hospital Medan.

 

Katanya, penempatan anggota terbabit bagi membantu dari segi kemudahan, penyelenggaraan pendawaian, perpaipan, pembersihan, penyahkuman selain keperluan lain.

 

Lima kontena membentuk satu dewan bedah seluas 243.87 meter persegi itu menempatkan keperluan prapembedahan, ketika pembedahan, pascapembedahan, tempat simpanan peralatan serta bilik persalinan.

 

Tinjauan HM di kawasan sekitar HSA mendapati keadaan lengang berikutan ramai pesakit sudah dipindahkan ke beberapa hospital kerajaan di daerah lain selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengumumkan penutupan Blok Barat HSA yang turut menempatkan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terbakar dalam kejadian 25 Oktober lalu.

 

Penutupan keseluruhan Blok Barat HSA itu turut menjejaskan perkhidmatan dewan bedah, unit tabung darah serta unit kecemasan dan trauma menyebabkan pesakit dan kakitangan bagi perkhidmatan rawatan di unit-unit berkenaan turut dipindahkan sementara. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.