Pengunjung Di KLCC Gempar Beg Disyaki Mengandungi Bom

KUALA LUMPUR- Pengunjung ke Menara 2 di Suria KLCC hari ini digemparkan dengan penemuan empat beg yang dikhuatiri mengandungi bom.

 

Beg berkenaan ditemui di bahagian tepi bangunan di antara pintu masuk utama Suria KLCC dan Menara 2 oleh polis bantuan KLCC pada kira-kira 10.30 pagi.

 

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari IPD Dang Wangi lengkap berpakaian kalis letupan bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan.

 

Berikutan itu, anggota UPB melakukan prosedur meletupkan beg berkenaan pada kira-kira 1.45 petang di luar menara itu.

 

Namun tiada letupan berlaku.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama kemudian mengesahkan beg itu hanya mengandungi pakaian lelaki.

 

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis bantuan pada pukul 12.35 tengah hari.

 

“Sepasukan bomba dan penyelamat dari balai Kramat dan Unit Hazmat dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya.

 

Beliau berkata selepas prosedur letupan, beg itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.