Pengorbanan Saya Berbaloi Perjuangkan Kenaikan Elaun Guru KAFA – Cikgu Ekhsan

SHAH ALAM – Bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang pernah  ‘menyerbu’ Sidang Dun Selangor untuk menuntut kerajaan negeri menaikkan elaun guru Kafa menzahirkan rasa syukur selepas Kerajaan Negeri Selangor menunaikan janji itu semalam.

 

Semalam, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2016 Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri akan menaikkan elaun guru Kafa sebanyak RM 200 iaitu daripada RM 1,300 kepada RM 1,500 dengan implikasi kewangan sejumlah RM 18.71 juta dan ia melibatkan seramai 6, 900 guru Kafa di seluruh negeri tersebut.

 

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Selangor yang akhirnya menunaikan janji dalam manifesto pilihanraya yang lalu dan akur dengan tuntutan guru-guru Kafa. Kenaikan elaun daripada RM1300 kepada RM1500 sememangnya merupakan satu jumlah yang amat bermakna bagi warga pendidik tersebut.

 

“Selari dengan tindakan ini, saya menuntut agar seluruh kandungan manifesto dalam pilihan raya yang lalu ditunaikan, setidak-tidaknya usaha untuk menunaikan janji tersebut dilihat rakyat. Suka untuk saya menasihatkan Azmin Ali agar mengurangkan kontroversi terhadap pentadbirannya dan fokus kepada usaha menunaikan janji.

 

“Kontroversi DEIG yang masih mengundang curiga awam dan kelulusan tiga tol baru di Selangor yang nyata kontradik dengan pendirian pembangkang untuk menghapuskan tol; ini adalah hal-hal yang perlu ditangani dengan segera dan jujur, bukan sekadar tangisan di Dewan Negeri semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

 

Namun katanya,  tindakan yang terlalu perlahan -dalam menaikkan elaun guru Kafa ini sama ada sedar atau tidak menunjukkan bahawa kerajaan  Azmin Ali amat tidak serius dalam menangani hal ehwal kebajikan rakyat Selangor, apatah lagi mahu mengangkat nilai rungutan dan protes rakyat sebagai usaha semak dan imbang dalam kerajaan yang diketuainya kini.

 

“Saya juga masih berasa kecewa kerana lama sebelum ini juga telah diwar-warkan akan wujud penambahbaikan dari sudut kemudahan perubatan dan pelbagai lagi insentif-insentif lain kepada guru-guru Kafa, namun malangnya sehingga kini, janji hanya tinggal janji.

 

“Itu belum termasuk hal berkaitan status perjawatan; guru Kafa yang telah berkhidmat selama 20 tahun masih berstatus sambilan! Adakah  Azmin Ali sedang menunggu seorang lagi guru Kafa merempuh masuk ke Dewan Negeri dan akhirnya terpecat, baru hal-hal kebajikan ini beres dan tertunai?” soalnya.

 

Pada April lalu, Ekhsan ‘menyerbu’ Sidang Dun Selangor untuk menuntut kerajaan negeri menaikkan elaun guru Kafa seperti yang dijanjikan PR pada PRU13.

 

Pada PRU13, kerajaan gabungan DAP, Pas dan PKR dalam manifesto mereka berjanji untuk menaikkan elaun guru Kafa di Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.