Bayi 14 Bulan Ditemui Selepas Setengah Jam Diculik

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 bulan yang diculik di hadapan rumahnya di Kampung Padang Balang, Off Jalan Sentul, Wangsa Maju petang semalam ditemui selepas setengah jam kemudian.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.28 petang itu, mangsa dikatakan sedang bermain bersama rakannya yang juga seusia dengannya sebelum dihampiri dua lelaki tidak dikenali.

 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek menaiki motosikal dan membawa lari mangsa yang memakai baju dan seluar panjang berwarna kuning dan putih.

 

Menurutnya, kira-kira setengah jam kemudian, mangsa ditemui di hadapan sebuah perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak selepas operasi mencari mangsa dijalankan polis dan penduduk.

 

“Mangsa dipercayai ditinggalkan selepas suspek dipercayai mengetahui tindakannya sedang dikesan polis.

 

“Tiada kecederaan dialami mangsa dan di bawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

 

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada suspek penghuni di kawasan perumahan itu atau sebaliknya dan motif kejadian.

 

Difahamkan, kejadian tersebut dilaporkan kakak mangsa yang berusia 22 tahun yang merupakan warga Indonesia.

 

Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.