Video: Hanipa Maidin ‘Mamak Tongkang’ – Azeez Rahim

Kuala Lumpur: Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat semalam menyaksikan pertikaman lidah antara ‘Mamak Sepang’ dengan ‘Mamak Baling’.

Mamak Sepang merujuk kepada Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) manakala Mamak Baling adalah Datuk Abdul Azeez Rahim (BN-Baling).

Perang mulut antara kedua-dua wakil rakyat yang mengaku berketurunan mamak bermula apabila Mohamed Hanipa cuba mencelah perbahasan Abdul Azeez yang menyentuh isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) namun tidak diberi jalan oleh penyokong kerajaan itu.

Namun kemudian Abdul Azeez memberi peluang kepada Mohamed Hanipa mencelah sambil berkata: “Bagilah peluang, nanti mamak itu marah pulak, Mamak Sepang.”

Mohamed Hanipa membalas: “Terima kasih Mamak Baling.”

Abdul Azeez menyakat Mohamed Hanipa dengan menggelar wakil pembangkang itu mamak tongkang.

“Saya mamak tinggi sedikit, dia tongkang tak pandai,” katanya lagi.

Gelagat mereka menarik perhatian Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said yang menyatakan kebimbangan mungkin kedua-dua Ahli Parlimen terbabit mempunyai pertalian darah.

“Takut satu keluarga mamak ini,” kata Mohd Said sambil disambut gelak ketawa ahli sidang dewan lain.

Drama tersebut tidak terhenti setakat itu apabila Mohamed Hanipa mempertahankan bahawa tidak timbul isu ahli PAS menerima BR1M kerana wang itu adalah daripada cukai rakyat bukan milik Barisan Nasional (BN).

“Adakah Baling sedar duit ini dalam bajet adalah duit rakyat. Kalau rakyat tak bayar cukai jangan harap BN dapat bayar semua ini dan jangan kata apabila orang PAS terima ia seolah-olah ihsan BN sedangkan ia duit rakyat,” katanya.

Balas Abdul Azeez: “Betul, tetapi ia memerlukan sebuah kepemimpinan urus tadbir yang cekap dan mulia, baru boleh beri bantuan BR1M. Mana BR1M PAS di Kelantan?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.