Video: Gadis ‘Pegang Anjing’ Dakwa Ibu Malas Nak Samak Punca Dia Takut Anjing

Kuala Lumpur – Disebalik kontroversiti kempen ‘I Want Touch A Dog’ salah seorang pengunjung program tersebut seolah-olah ingin mempertahankan tindakan penganjuran yang mendapat kecaman pelbagai lapisan masyarakat itu.

Seorang Vlogger (Video Blogger) yang hanya dikenali Jane berkata tindakan beliau untuk hadir di program tersebut hanya untuk menghilangkan rasa takutnya kepada anjing.

Di dalam rakaman video bertajuk ‘Giler Selamba Jane’ itu, dia mendakwa selepas menghadiri program tersebut perasaan takutnya terhadap binatang tersebut tiada lagi.

“Sejak dari kecil kita (sering) dimomokan dengan perasaan takut.. banyak pantang larang.

“Mungkin sebab mak (dan) bapa nak kasi senang kerja diaorang menjaga kita” ujarnya di dalam klip video berdurasi 4:20 itu.

Menurut Jane, setelah dewasa beliau faham mengapa dirinya takut terhadap anjing.

“I takut dengan anjing sebab mak tak nak kasi pegang.

“Mak I, malas sertukan (samak) I” ujarnya lagi.

Namun tindakan tersebut turut dikecam oleh pengguna media sosial yang mendakwa tindakan Jane itu biadap kerana dilihat cuba menyalahkan ibu-bapanya dan sengaja ingin memanjangkan polemik isu pegangan anjing ini.

Portal pembangkang sebelum ini melaporakn ratusan hadirin hadir pada acara “I Want to Touch a Dog” – sebuah acara bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Acara yang bermula pada jam 8 hingga 10 pagi di Central Park, Bandar Utama itu turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Selain menyentuh anjing, acara julung kali yang turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat itu juga memberi peluang kepada hadirin untuk mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan haiwan berkenaan.

Malah menurut penganjur acara berkenaan, Syed Azmi Alhabshi berkata, beliau gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima pada hari ini.

Katanya, objektifnya untuk mengadakan acara ini juga tercapai apabila rata-rata yang hadir memberi respon positif kepadanya.

“Sambutan amat menggalakkan. Walaupun acara ini hanya dua jam, tapi rasanya ia amat mencukupi. Saya rasa bagus dan objektif tercapai. Apa yang penting kita dapat tengok masyarakat yang majmuk saling membantu.

“Hari ini juga ramai orang Islam yang hadir dan mereka rasa selesa sebab mereka tak was-was,” katanya sebelum ini seperti yang di laporkan oleh portal tersebut.

Sementara itu, seorang pengunjung, Aimi Syafiqah Ghazali, 23, berkata, acara tersebut merupakan sebuah acara yang bagus kerana dapat memberi kesedaran dan membuang pemikiran negatif yang mengatakan anjing tak boleh dipegang.

Katanya, apa yang paling penting bagi masyarakat kini ialah ilmu dan pengetahuan berhubung haiwan berkenaan.

“Bagi saya acara ini bagus. Biasanya orang Islam di Malaysia ini skeptikal. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Tetapi acara ini menyedarkan bahawa Islam itu mudah.

“Saya rasa kita kena buang pemikiran yang begitu. Acara ini satu permulaan yang bagus dan harap akan dibuat lagi acara seperti ini di tempat lain,” katanya.

Bagi Siti Khadijah Samsudin, 22, dia turut berpendapat, acara tersebut perlu diadakan lagi untuk mendidik masyarakat Islam supaya memupuk rasa sayang walaupun terhadap anjing.

“Acara ini sangat berguna kepada orang Islam untuk mendidik kita supaya bertanggungjawab kepada haiwan walaupun ianya haram. Kita juga sebenarnya kena saling menyayangi dengan makhluk yang lain,” katanya.

Abdullah Fauzi Samsudin, 31, pula berkata, acara tersebut juga bermanfaat untuk mendidik orang Islam supaya tidak lagi takut untuk memegang anjing dan membuang persepsi negatif terhadap haiwan berkenaan.

“Acara ini bermanfaat untuk didik kita. Walaupun anjing ini najis tetapi dia binatang yang sangat mesra. Cuma ada cara untuk pegang dan kita juga sebenarnya boleh memegang anjing jika ia kering. Tak perlu untuk disertu,” katanya lagi.

Namun tindakan mereka itu dibidas oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan mereka yang terbabit dalam program sentuh anjing atau ‘I Want To Touch A Dog’ itu adalah seperti manusia yang tidak berotak.

Beliau berkata, orang yang menyertai program berkenaan hanya mempunyai kepala saja tapi di dalamnya tidak mempunyai otak dan mempunyai ulat kerana tidak boleh digunakan untuk berfikir.

“Malah dalam kepala mereka itu juga penuh dengan ulat. Perkara ini tidak munasabah langsung terutama membabitkan orang Islam,” katanya berucap pada majlis sempena Pentadbiran Kelantan 24 Tahun, baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.