Saya Berfikiran Positif, Saya Hanya Wanita Biasa – Krisdayanti

Kuala Lumpur – Krisdayanti (KD), satu nama besar bukan dalam industri muzik negara kelahirannya Indonesia malah di Malaysia. Sempena 16 tahun mencipta nama di sini, diva Pop bervokal emas ini bakal mengadakan konsert yang diberi nama Konsert Krisdayanti Live in KL 2014, di dewan Plenary, Pusat Konvesyen KLCC pada 22 November 2014.

Tiada yang lebih mengujakan buat figura berusia 39 tahun ini selain mahu menghiburkan para peminatnya di sini pada sebuah konsert disifatkannya cukup istimewa sepanjang kariernya bergelar penghibur. Namun dalam pada dirinya juga para pencintanya di tanah air menghitung hari sehingga hari yang bersejarah itu tiba, timbul cakap-cakap segelintir pihak yang mengritik sekaligus mengecam hasrat KD untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

Dalam ruangan gosip sebuah akhbar tempatan baru-baru ini menyebut, ada pihak yang berpendapat, peminat Malaysia tidak perlulah lagi menyanjung KD gara-gara figura itu pernah mempunyai kontroversi dan sejarah hitam sikit masa dulu. Dek kerana kontroversinya yang lalu, KD dikatakan tidak layak mengadakan konsert di sini apatahlagi diberi layanan istimewa.

Mengulas mengenai hal itu, KD berkata dia ada mendengar khabar tersebut tetapi tidak sikit mematahkan semangatnya untuk terus mengadakan konsert di sini.

“Iya, saya ada dengar tentang perkara itu. Tidak semua orang suka dengan kita, kan. Sama juga seperti, ada orang anti Indonesia, ada orang anti Malaysia.

“Tapi bagi saya, kritikan sebegitu hanya sebahagian kecil dan saya berfikiran positif. Kalau mungkin disebabkan keterbukaan saya sehingga menyebabkan tercetusnya kontroversi-kontroversi itu, bagi saya, saya hanya jadi diri sendiri. Saya hanya wanita biasa… sama seperti wanita dan ibu-ibu lain.

“Kalau mungkin pihak tersebut mengambil kesempatan atas keterbukaan saya, saya tidak marah, tidak sedih bahkan tidak ambil hati bila dikecam sebegitu. Cuma orang yang menulis itu bagi saya dia tidak profesional kerana dia menulis menggunakan nama samaran”, katanya ketika ditemui pada sidang media kedua konsertnya itu bertempat di hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, bercerita mengenai persiapannya, KD berkata dia sudah pun membuat persediaan dan akan kembali ke sini semula pada 20 November nanti untuk latihan terakhir bersama produksi dan juga bersama artis jemputannya Hafiz Suip sebelum persembahan sebenar.

Beritahu KD lagi, bagi memberikan kelainan, ada diantara lagu yang akan dinyanyikan nanti ditukar susunan muziknya. Malah persembahannya nanti juga diselitkan dengan segmen Broadway.

“Saya sekarang tinggal menghitung hari hingga tiba hari konsert. Tipu jika saya katakan saya tidak gementar. Sudah lama saya impikan konsert sebesar ini dan syukur kerana Tuhan menemukan saya dengan penganjur, One Drop Perfumes. Impian saya bakal terlaksana. Kini saya sedang giat menjalani latihan.

“Saya kira, ini adalah sebuah konsert yang layak ditonton oleh semua peminat saya di Malaysia. Ia pasti akan saya berikan sebuah persembahan yang akan diingati untuk akhir tahun 2014.

“Ada juga segmen Broadway yang mana saya akan menyanyikan lagu seperti ‘Mencintaimu’, ‘Penasaran’ dan ‘Im Sorry Goodbye”, tuturnya sambil tersenyum.

Lebih membuatkan KD bersemangat adalah dengan kehadiran bukan saja anak perempuannya, Aurel, yang akan berduet bersamanya pada hari berkenaan. Tetapi KD juga teruja kerana penyanyi Hafiz Suip akan menjadi artis jemputan. Hafiz telah dipilih menerusi hasil 20, 000 undian peminat di laman Facebook pihak penganjur.

“Bila pada mulanya saya dengar nama Hafiz, saya tahu anak muda ini paling Top sekarang di Malaysia. Saya juga tahu yang dia penyanyi bagus sebab dia menang di APM (Anugerah Planet Muzik) lalu. Rossa juga ada muatnaik gambarnya. Saya yakin Hafiz boleh menambahkan lagi semangat di pentas konsert saya nanti. Malah dia punya tarikan tersendiri dan moga-moga peminat-peminat juga akan datang menyaksikan konsert saya. Saya kira ini satu gabungan yang cukup mantap antara penyanyi Indonesia dan Malaysia.

“Saya dengar lagu-lagunya di YouTube. Paling saya suka, ‘Ombak Rindu’. Banyak kali saya dengar lagu itu, saya benar-benar suka. Ternyata range vokalnya sama dengan saya. Di sidang media ini, kali pertama saya bertemu dengan dia. Ganteng (kacak) juga orangnya. Semoga suami saya tidak cemburu nanti”, tuturnya dengan nada bergurau.

KD dan Hafiz akan berduet dan lagu yang akan mereka sampaikan nanti antaranya, ‘Cinta’ dan ‘Ombak Rindu’. Selain itu di konsert tersebut diselitkan segmen tribute untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana KD akan menyampaikan lagu ‘Getaran Jiwa’.

Tiket-tiket konsert Krisdayanti Live in KL 2014 boleh didapati di www.ticketcharge.com.my atau hubungi 03-9222 8111 dengan harga bermula RM98 (Bronze), RM328 (Gold), RM428 (Diamond), RM528 (Platinum), RM888 (VIP) dan RM10,88 (VVIP). Tiket-tiket juga boleh didapati di outlet Speedy Video serata Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.