Video: Masyarakat Digesa Main Peranan, Salur Maklumat Berkaitan Aktiviti Judi Haram Dan Maksiat

Kuala Lumpur – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa masyarakat khususnya mereka yang beragama Islam untuk turut memainkan peranan dengan tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa bagi mencegahkan aktiviti perjudian dan maksiat di ibu negara.

Menurutnya sekiranya gejala kurang sihat ini tidak dibendung ia bakal merosakkan negara khususnya generasi muda yang sering terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

“Aktiviti banteras maksiat ini memang harus dijalankan kerana ia akan mencegah pertumbuhan maksiat seperti ini.

“Saya ingin menyeru dan mengesa agar masyarakat turut memainkan peranan dengan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa khususnya ‘Task Force’ yang ditubuhkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan ini” katanya yang ditemui SuaraTV dalam Operasi Cegah Maksiat awal pagi tadi.

Sementara itu menurut Presiden Majlis Belia Wilayah Pesekutuan, Hamizi Mat Juah pihaknya akan menyahut seruan pihak Kementerian dalam membasmi aktiviti maksiat dan perjudian haram di ibu negara.

“Kami akan menyahut seruan Datuk KSU (Datuk Seri Adnan bin Hj. Md Ikshan) dengan menubuhkan satu biro yang berkaitan dengan kegiatan judi haram dan maksiat.

“Ia secara tidak langsung akan berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada agensi yang berkaitan dalam menyalurkan maklumat” katanya ketika ditemui dalam operasi yang dijalankan awal pagi tadi.

Dalam operasi yang diadakan pada malam tadi, pihak kementerian dengan kerjasama anggota penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan serbuan keatas permis-permis rumah urut dan maksiat disekitar kawasan Segambut, Kepong dan Seputeh.

Dengan kekuatan 450 anggota, operasi tersebut turut dibantu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DIraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.