Kes Liwat 2 : Hari Penentu Buat Anwar

Putrajaya – Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari keempat hari ini selepas ditangguhkan semalam.

Hari ini tiba giliran pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk membentangkan pula hujahan mereka selepas pasukan pembelaan selesai merumuskan hujahan mereka pada Khamis.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.