Lelaki Buat Panggilan Bom Palsu Halang Teman Wanita Balik Ke Indonesia

GEORGE TOWN – Polis menahan 3 individu, termasuk seorang wanita warga Indonesia semalam, selepas disyaki terlibat membuat panggilan ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pada 9 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya A A Anbalagan berkata, wanita berusia 38 tahun itu ditahan sebaik tiba di balai ketibaan LTAPP semalam dari Medan, Indonesia kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

“Sebaik menahan wanita itu, polis menahan kekasihnya berumur 38 tahun, yang sedang menunggu untuk menjemputnya di kawasan ketibaan LTAPP. Lelaki itu di percayai turut terlibat dalam kejadian panggilan bom palsu tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, susulan penahanan pasangan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun di Jitra, Kedah, yang merupakan rakan kepada suspek lelaki tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan untuk membuat ancaman bom palsu didaftarkan di atas nama wanita Indonesia itu, namun talian itu digunakan oleh teman lelakinya.

Anbalagan berkata, siasatan juga mendapati ketika 2 lelaki itu dalam perjalanan menghantar wanita Indonesia tersebut ke LTAPP untuk pulang ke Medan pada 9 Ogos lepas, telah berlaku salah faham antara pasangan kekasih berkenaan.

“Bagi menghalang teman wanitanya pulang ke Medan, kekasihnya meminta bantuan rakan lelakinya untuk membuat panggilan bom palsu dengan harapan jadual penerbangan ke Medan tergendala,” katanya.

Katanya, lelaki itu mengaku membuat panggilan ancaman bom palsu dengan menggunakan telefon bimbit milik rakanya, setelah diminta oleh lelaki berkenaan.

Mereka membuat ugutan bom palsu tersebut hanya melibatkan isu peribadi, serta tiada elemen jenayah yang lain.

Menurutnya, pemeriksaan polis bersama pasukan unit anjing pengesan pada 9 Ogos itu turut tidak menemui sebarang bom atau benda berbahaya di kawasan LTAPP.

“Teman lelaki wanita itu mempunyai 5 rekod jenayah melibatkan dadah, manakala seorang lagi lelaki mempunyai satu rekod jenayah. Mereka bertiga kini di reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah, dan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan panggilan palsu.

Beliau berkata, ini kerana ia bukan sahaja menyusahkan pengguna lain di LTAPP, malah merugikan pelbagai pihak. termasuk polis serta pengurusan lapangan terbang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.